Melaka – Pengarah Cawangan Khas, YDH CP Dato’ Sri Ibrahim bin Darus, telah mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka hari ini bagi memperkukuh kesiapsiagaan serta menyelaras strategi keselamatan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Ketibaan beliau disambut oleh Ketua Polis Melaka, YDH DCP Datuk Wira Dzulkhairi bin Mukhtar, bersama Timbalan Ketua Polis Melaka, YDH SAC Datuk Ahmad Jefferi bin Abdullah, Ketua-Ketua Jabatan dan Ketua-Ketua Polis Daerah.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Cawangan Khas E1, YDH Dato’ Mohd Hairuddin bin Che Hamid, serta Ketua Penolong Pengarah E4, YDH DCP Dato’ Pahlawan Hishammudin bin Mohd Amin.
Lawatan kerja tersebut diteruskan dengan kunjungan hormat di Pejabat Ketua Polis Melaka, diikuti sesi perjumpaan bersama Ketua-Ketua Jabatan dan Ketua-Ketua Polis Daerah di Bilik Mesyuarat Utama, IPK Melaka.
Sesi perjumpaan ini menjadi wadah strategik dalam memperkukuh kerjasama, menyelaras gerak kerja serta memantapkan perkongsian maklumat antara Cawangan Khas Bukit Aman dengan Polis Kontinjen Melaka. Penekanan turut diberikan kepada kepentingan kesiapsiagaan bersepadu, pemantauan situasi keselamatan dan keberkesanan tindakan bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara sepanjang pelaksanaan PRN Melaka Ke-16.
Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan setiap aspek perancangan dan pelaksanaan tugas keselamatan dilaksanakan secara sistematik, berkesan serta berlandaskan profesionalisme. Sinergi strategik antara semua peringkat kepimpinan kepolisan ini merupakan elemen penting dalam menjamin kelancaran proses pilihan raya, di samping memelihara kestabilan, keharmonian dan kesejahteraan masyarakat di Negeri Melaka.
Sumber : Polis Melaka



