Klebang – Sebuah lori simen yang diarahkan berhenti untuk pemeriksaan di sekitar Dataran Klebang, Melaka, tidak berhenti dan meneruskan perjalanan ke kawasan kilang simen.
Kejadian berlaku kira-kira jam 10.10 pagi ketika anggota JPJ sedang menjalankan tugas rasmi. Arahan berhenti telah diberikan sebanyak tiga kali menggunakan pembesar suara kenderaan pasukan. Siren dan lampu amaran turut diaktifkan, namun lori berkenaan terus bergerak.
Ketika kenderaan pasukan mengekori lori tersebut, pemandunya didapati menggerakkan lori ke arah kenderaan pasukan sehingga cuba menghimpitnya. Pemandu berkenaan memandu secara aggresif dan mengabaikan arahan anggota JPJ serta memandu secara melulu dan berbahaya. Dalam masa yang sama, pemandu lori berkenaan turut dipercayai membuang barang dan peralatan terlarang miliknya ketika hendak melarikan diri.
Tiada perlanggaran atau kerosakan berlaku. Lori tersebut kemudian berjaya diperoleh di kawasan kilang simen.
Anggota JPJ meminta pemandu mengemukakan lesen memandu dan mengeluarkan notis untuk lori tersebut ditimbang di JPJ Melaka. Pihak polis turut dipanggil bagi mendapatkan bantuan. Pemandu kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut termasuk ujian urin dan hasil ujian positif ganja.
Berdasarkan maklumat keputusan kes yang diterima 3 hari selepas kejadian tersebut, pemandu berkenaan telah didakwa di Mahkamah Majistret pada 9 Oktober 2026 dan didapati bersalah atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas. Mahkamah mengenakan denda RM2,000.
JPJ mengingatkan semua pemandu supaya mematuhi arahan berhenti yang diberikan oleh anggota penguat kuasa. Tindakan mengabaikan arahan boleh membahayakan anggota, pemandu sendiri dan pengguna jalan raya lain.
Patuhi arahan. Utamakan keselamatan.



