PROSIDING: Tertuduh diiring keluar selepas menjalani prosiding di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu.
KOTA KINABALU: Lima individu berdepan keseluruhan 23 pertuduhan berkaitan dakwaan mengemukakan dokumen mengandungi pernyataan palsu serta menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan bayaran kerja baik pulih rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, hari ini.
Kes dikendalikan di hadapan Hakim YA Andi Razalijaya A Dadi dengan Pegawai Pendakwa PsK Dzulkarnain Rousan Hasbi.
Kesemua tertuduh iaitu empat lelaki dan seorang wanita didakwa atas kesalahan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, manakala wanita berkenaan turut menghadapi enam pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 Kanun sama.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Ashar Usman, 45, berdepan satu pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 selepas memberikan kepada Pengarah GIATMARA Negeri Sabah satu dokumen Pesanan Belian bernilai RM14,933 yang mengandungi pernyataan palsu berkaitan kerja baik pulih rumah PPRT pada April 2021.
Kerja baik pulih rumah berkenaan didakwa tidak mengikut butiran pengiraan (BQ) yang ditetapkan.
Ashar mengaku tidak bersalah dan mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 28 Oktober 2026.
Tertuduh dikenakan ikat jamin RM10,000 dengan deposit RM3,000 dan seorang penjamin tempatan.
Mahkamah turut mengarahkan Ashar melapor diri di pejabat SPRM berhampiran sebulan sekali, menyerahkan pasport antarabangsa dan atau pasport terhad kepada mahkamah serta tidak mendekati saksi pendakwaan.
Dalam pada itu, Shariff Wahya, 55, pula berdepan satu pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 selepas memberikan satu dokumen Pesanan Belian bernilai RM14,999 kepada Pengarah GIATMARA Negeri Sabah dalam tempoh antara Februari hingga Mac 2021.
Dokumen itu didakwa mengandungi pernyataan palsu berkaitan kerja baik pulih rumah PPRT yang didakwa tidak mengikut spesifikasi kerja (BQ) ditetapkan.
Shariff mengaku tidak bersalah dan kes ditetapkan untuk pengurusan pada 28 Oktober 2026.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM10,000 dengan deposit RM1,000 dan seorang penjamin tempatan serta menetapkan syarat sama, termasuk laporan bulanan kepada SPRM, penyerahan pasport dan larangan mendekati saksi pendakwaan.
Sementara itu, Kenidi Musa, 41, berdepan lima pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 selepas tertuduh mengemukakan beberapa invois bagi kerja baik pulih rumah PPRT antara April hingga September 2021.
Kesemua invois berkenaan didakwa mengandungi pernyataan palsu apabila kerja baik pulih bagi lima penerima bantuan didakwa tidak mengikut spesifikasi kerja yang ditetapkan.
Nilai invois yang dinyatakan dalam pertuduhan antara RM14,996 hingga RM14,998, manakala nilai kerja yang didakwa tidak mengikut spesifikasi BQ antara RM2,878 hingga RM5,886.
Kenidi mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dan mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 28 Oktober 2026.
Dia dikenakan ikat jamin RM15,000 dengan deposit RM5,000 serta dua penjamin tempatan.
Mahkamah turut menetapkan syarat supaya tertuduh melapor diri kepada SPRM sebulan sekali, menyerahkan pasport dan tidak mendekati saksi pendakwaan.
Mohd Nur Musa, 42, pula berdepan lima pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 membabitkan dokumen Pesanan Belian bernilai antara RM14,934 hingga RM15,000 yang berkaitan kerja baik pulih rumah PPRT pada 2021.
Lima pertuduhan itu membabitkan kerja bagi beberapa penerima bantuan yang didakwa tidak dilaksanakan atau tidak mengikut butiran pengiraan (BQ) ditetapkan.
Antara nilai kerja yang dinyatakan dalam pertuduhan ialah RM2,400, RM4,430 dan RM4,403.
Mohd Nur mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dan kes ditetapkan untuk pengurusan pada 28 Oktober 2026.
Dia dikenakan ikat jamin RM15,000 dengan deposit RM5,000 dan seorang penjamin tempatan.
Mahkamah turut mengarahkan dia melapor diri kepada SPRM sebulan sekali, menyerahkan pasport serta tidak mendekati saksi pendakwaan.
Sementara itu, Aidah Mustapha, 54, berdepan 11 pertuduhan membabitkan Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan.
Lima pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 membabitkan dakwaan mengemukakan beberapa invois bernilai antara RM14,996.50 hingga RM15,000 bagi kerja baik pulih rumah PPRT pada April 2021, kerja berkenaan didakwa tidak mengikut BQ ditetapkan.
Aidah turut menghadapi enam pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana didakwa menggunakan beberapa dokumen sebagai tulen walaupun mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen berkenaan palsu.
Dokumen berkenaan termasuk perakuan serahan siap kerja, borang permohonan PPRT, borang kebenaran menggunakan tanah, borang pengesahan dan akuan penerima projek serta borang profil peserta PPRT.
Kesemua dokumen berkenaan didakwa digunakan bagi tujuan mendapatkan bayaran kerja baik pulih rumah PPRT bernilai antara RM14,996.50 hingga RM15,000.
Aidah mengaku tidak bersalah dan mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 28 Oktober 2026.
Dia dikenakan ikat jamin RM20,000 dengan deposit RM5,000 dan dua penjamin tempatan.
Mahkamah turut mengarahkan Aidah melapor diri kepada SPRM sebulan sekali, menyerahkan pasport serta tidak mendekati saksi pendakwaan.
Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009, seseorang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan jika dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Bagi kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, hukuman yang diperuntukkan ialah penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



