RASMI: Noraini menyempurnakan perasmian PKPKS 2026 di sini.
KOTA KINABALU: Kerajaan menyediakan RM63.5 juta menerusi Belanjawan 2026 bagi memperkukuh pasaran, mempromosikan pensijilan mampan dalam kalangan pekebun kecil serta menangani kempen anti-minyak sawit di peringkat global.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, peruntukan itu penting bagi memastikan industri sawit negara terus berdaya saing, selain manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh pekebun kecil.
“Tumpuan kerajaan bukan hanya kepada peningkatan pengeluaran dan nilai eksport, sebaliknya memastikan hasil kebun, pendapatan serta kesejahteraan keluarga pekebun kecil turut meningkat.
“Keberhasilan sebenar ialah apabila kemajuan industri ini turut meningkatkan hasil kebun, mengukuhkan pendapatan dan menjamin masa depan pekebun kecil,” katanya ketika merasmikan Persidangan Kebangsaan Pekebun Kecil Sawit (PKPKS) 2026 di sini.
Persidangan dua hari itu menghimpunkan hampir 800 peserta dari seluruh negara bagi membincangkan perkembangan industri sawit, teknologi, bantuan serta manfaat yang disediakan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Noraini berkata, Sabah dipilih sebagai tuan rumah PKPKS 2026 selaras dengan kedudukannya sebagai pengeluar kedua terbesar Minyak Sawit Mentah (CPO) negara pada 2025, menyumbang hampir 24 peratus daripada keseluruhan pengeluaran negara.
Katanya, lebih 15 peratus keluasan tanaman sawit negara diusahakan pekebun kecil yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan rantaian bekalan industri sawit.
“Di sebalik angka itu, terdapat ribuan pekebun kecil yang menjadikan sawit sebagai sumber pendapatan utama keluarga.
“Merekalah yang perlu merasai manfaat apabila industri sawit terus berkembang,” katanya.
MOU: Badrul bertukar dokumen MoU kerjasama antara MPOB dan FELDA.
Beliau berkata, kerajaan terus memperkukuh bantuan penanaman semula, latihan, teknologi, pendigitalan dan akses pasaran melalui Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN 2030).
Menurutnya, isu pokok sawit tua perlu diberi perhatian kerana usia pokok mempunyai kaitan langsung dengan hasil kebun dan pendapatan pekebun kecil.
“Melalui Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS), pekebun kecil dibantu menggantikan pokok sawit tua melalui penanaman semula menggunakan bahan tanaman berkualiti tinggi.
“Matlamatnya jelas, kita mahu kebun yang lebih produktif dan pendapatan yang lebih baik untuk pekebun kecil,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Noraini berkata tuntutan pasaran antarabangsa kini bukan hanya tertumpu kepada produk yang dihasilkan, tetapi turut melibatkan aspek kemampanan, ketelusan dan kebolehjejakan.
Katanya, Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) menjadi instrumen penting bagi memperkukuh kemampanan industri sawit negara dan membuka ruang lebih luas kepada pasaran antarabangsa.
“Hampir 253,000 pekebun kecil persendirian di seluruh negara sudah memperoleh pensijilan MSPO membabitkan 162 Kluster Minyak Sawit Mampan (SPOC) dengan keluasan melebihi 723,000 hektar.
“Di Sabah pula, 30,384 pekebun kecil memperoleh pensijilan MSPO membabitkan kawasan tanaman melebihi 188,000 hektar, mewakili 97.17 peratus daripada keseluruhan keluasan tanaman sawit milik pekebun kecil persendirian di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan turut memperkukuh Sistem Kebolehjejakan Komoditi Malaysia (SKKM), termasuk penggunaan teknologi digital seperti Sawit Intelligent Management System (SIMS) dan GeoSAWIT bagi meningkatkan ketelusan dalam rantaian bekalan minyak sawit.
ANUGERAH: Noraini menyampaikan Anugerah Industri Sawit Malaysia bagi kategori Pekebun Kecil Persendirian kepada penerima dari Kota Marudu.
Sementara itu, Ketua Pengarah MPOB, Datuk Badrul Hisham Mohd berkata, kejayaan sebenar MPOB bukan hanya diukur berdasarkan jumlah teknologi atau penyelidikan yang dihasilkan, tetapi sejauh mana inovasi berkenaan sampai ke kebun dan diterima pakai pekebun kecil.
Katanya, teknologi yang dibangunkan perlu membantu meningkatkan hasil dan produktiviti, selain mengurangkan kos serta menangani masalah yang dihadapi pekebun kecil.
“Kalau pekebun kecil masih berdepan dengan masalah yang sama, itu bermakna kerja kita masih belum selesai.
“Teknologi hanya akan memberikan nilai apabila digunakan, difahami dan benar-benar membantu pekebun kecil di lapangan dengan kos yang efektif,” katanya.
Badrul berkata, MPOB akan terus membawa penyelesaian praktikal ke lapangan merangkumi bahan tanaman berkualiti, amalan pertanian baik, mekanisasi, teknologi digital dan kecerdasan buatan.
Katanya, MPOB turut membangunkan portal GeoSAWIT sebagai platform geospatial nasional bagi menyokong aspek kemampanan dan kebolehjejakan industri sawit.
“MPOB turut memperkenalkan Pelan Agrikomoditi Sawit 2030 (PAUS 2030) sebagai kompas baharu bagi membentuk industri sawit yang lebih produktif, berteknologi rendah karbon, mempunyai nilai pasaran lebih tinggi dan memberikan manfaat kepada rakyat.
“Pelaksanaan PAUS 2030 perlu digerakkan melalui tiga agenda utama iaitu reformasi institusi, menerajui industri dan menjana ekonomi.
“Produktiviti mesti diterjemahkan kepada pendapatan, inovasi mesti diterjemahkan kepada nilai ekonomi dan pembangunan industri mesti membawa pendapatan kepada rakyat,” katanya.
LAWAT: Noraini melawat salah satu pameran yang dibuka semasa PKPKS 2026.
Tambahnya, PAUS 2030 bukan agenda untuk MPOB semata-mata. Ia mesti diterjemahkan menjadi pendapatan untuk industri dan akhirnya kepada rakyat termasuk pekebun kecil.
Badrul berkata, MPOB turut memperkukuh penyertaan pekebun kecil dalam SPOC melalui sokongan pegawai Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit (TUNAS).
Katanya, sehingga Jun 2026, sebanyak 192 SPOC memperoleh pensijilan MSPO membabitkan 197,933 pekebun kecil persendirian di seluruh negara.
“Kekuatan pekebun kecil turut dapat ditingkatkan melalui kerjasama berkelompok dan koperasi, termasuk menerusi Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM).
“Penjualan buah tandan segar melalui koperasi bukan sahaja dapat memperkukuh kedudukan pekebun kecil dalam rantaian nilai, malah membuka peluang pulangan lebih baik.
“Apabila pekebun kecil bersatu, suara menjadi lebih kuat, kuasa tawar-menawar menjadi lebih baik dan peluang mencipta nilai juga lebih besar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan peranan pegawai TUNAS perlu diperkasakan sebagai penghubung antara MPOB dengan pekebun kecil.
“TUNAS mesti menjadi mata MPOB untuk melihat masalah, telinga MPOB untuk mendengar suara pekebun kecil dan tangan MPOB untuk membantu menyelesaikan masalah,” katanya.
Persidangan berkenaan turut menyaksikan pelancaran Sistem Kod Amalan Baik Tapak Semaian Sawit (e-CoPN) serta penerbitan prosedur operasi standard berkaitan bancian kumbang pendebunga, pengiraan pembentukan buah dan teknik Hatch and Carry.
Selain itu, kerjasama antara MPOB dan FELDA melalui memorandum persefahaman (MoU) turut diperkukuh bagi penyelidikan berkaitan perubahan iklim, pengurusan sumber air dan biodiversiti.
Program turut menyaksikan penyampaian Anugerah Industri Sawit Malaysia bagi kategori Pekebun Kecil Persendirian dan Tersusun serta Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) Terbaik.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



