Pada 16 September tahun 1963, YTM Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri mengisytiharkan penubuhan Malaysia dalam satu majlis gilang-gemilang yang diadakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Seramai 30 ribu orang penduduk Malaysia berkumpul bagi menyaksikan peristiwa bersejarah hasil daripada penggabungan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak ini.
Sambutan di peringkat negeri juga diadakan di seluruh negara. Hasrat untuk menubuhkan sebuah negara persekutuan ini disuarakan oleh YTM Tunku buat kali pertama dalam ucapan beliau di hadapan wartawan pada Majlis Jamuan Akhbar semasa Persidangan Wartawan-wartawan Luar Negeri Asia Tenggara yang diadakan di Hotel Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961. Bertitik tolak daripada hasrat ini, kerajaan telah merangka strategi untuk memastikan penubuhan Malaysia berjalan dengan teratur. Kerajaan antaranya telah menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia (Malaysia Solidarity Consultative Committee – MSCC) pada 23 Julai 1961 bagi meninjau pendapat serta memberi penerangan dan maklumat berkaitan rancangan pembentukan Malaysia kepada penduduk di Borneo Utara, Sarawak dan Brunei.
Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia ( Malaysia Solidarity Consultative Committee – MSCC) ditubuhkan Pada 23 Julai 1961 bertujuan untuk meninjau pandangan serta memberi penerangan mengenai rancangan pembentukan Malaysia kepada penduduk Borneo Utara, Sarawak dan Brunei.
Kerajaan turut menubuhkan Suruhanjaya Cobbold, iaitu sebuah suruhanjaya bebas dan berkecuali pada 16 Januari 1962 dengan diketuai oleh Lord Cobbold dan dianggotai oleh Sir Anthony Abell, Sir David Watherston, Dato’ Wong Pow Nee dan Encik Muhammad Ghazali Shafie.
-Kemaskini 2025-
Sumber : Arkib Negara Malaysia



