TINJAU: Ewon ketika meninjau projek jambatan konkrit di Kampung Kaung dan Kampung Melangkap, Kota Belud hari ini.
KOTA BELUD: Dua projek jambatan konkrit bernilai keseluruhan RM23.3 juta di Kampung Kaung dan Kampung Melangkap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian kini siap sepenuhnya.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick berkata, projek berkenaan sekali gus meningkatkan kemudahan perhubungan serta merancakkan kegiatan ekonomi penduduk di kawasan itu.
Menurutnya, jambatan konkrit Kampung Kaung sepanjang 100 meter melibatkan peruntukan RM14.3 juta, termasuk pembinaan sebuah pembetung bagi laluan anak sungai, dimulakan pada Ogos 2024 dan siap sepenuhnya awal September tahun ini.
Beliau berkata, jambatan konkrit Kampung Melangkap sepanjang 50 meter dengan kos kira-kira RM9 juta dimulakan pada Februari 2025 dan siap sepenuhnya Ogos lalu.
“Kedua-dua jambatan ini akan membawa perubahan besar kepada kegiatan ekonomi dan kehidupan ribuan penduduk di Mukim Kaung dan Mukim Melangkap.
“Sebagai wakil rakyat di kawasan ini, saya yakin kedua-dua projek ini akan menjadi pemangkin kepada kegiatan ekonomi dan meningkatkan kualiti kehidupan ribuan penduduk yang menggunakan kemudahan ini.
“Saya akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi, termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah serta rakan-rakan dalam kerajaan negeri dan Persekutuan bagi menjayakan rancangan pembangunan Kadamaian seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020–2035,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau pelaksanaan kedua-dua projek berkenaan bersama pegawai JKR Sabah, Pejabat Daerah Kota Belud dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), yang menyediakan peruntukan bagi kedua-dua projek berkenaan.
“Terima kasih juga kepada agensi pelaksana, iaitu JKR Sabah, serta syarikat pelaksana yang dilantik kerana memastikan kedua-dua projek ini dapat disiapkan sepenuhnya,” katanya.
Dalam lawatan itu, Ewon turut meninjau Jalan Sekolah Kebangsaan (SK) Kaung sepanjang tiga kilometer dan Jalan Melangkap-Kebayau yang dimasukkan dalam senarai keutamaan untuk dilaksanakan tahun hadapan menerusi pembiayaan Kerajaan Negeri Sabah.
Menurutnya, cadangan menaik taraf kedua-dua jalan itu dibuat susulan permintaan dan aduan penduduk, selain menjadi sebahagian daripada perancangan Pelan Induk Pembangunan Kadamaian.
“Ini merupakan sebahagian daripada usaha kita untuk memastikan pembangunan infrastruktur berskala besar terus dilaksanakan secara berterusan di Kadamaian.
“Beberapa lagi projek jalan raya berskala besar kini sedang dilaksanakan di kawasan DUN Kadamaian, termasuk Jalan Sayap, Jalan Tengkurus, Jalan Podos, Jalan Kinasaraban serta Jalan Tiung Komburaon.
“Ini menunjukkan bahawa banyak projek infrastruktur berskala besar, khususnya jalan raya dan jambatan, sedang dilaksanakan di DUN Kadamaian bagi meningkatkan kesalinghubungan serta kesejahteraan rakyat,” jelasnya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



