RAMPAS: Kesemua rokok tidak bercukai yang dirampas dalam operasi bersepadu PPM Wilayah 4 Sabah bersama SPRM dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut.
SANDAKAN: Cubaan menyeludup 3.55 juta batang rokok tidak bercukai dari negara jiran berjaya dipatahkan dalam dua serbuan di Sungai Seguntur, di sini, pada 15 September lalu.
Operasi Bersepadu Khas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu turut membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 45 tahun.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, serbuan pertama dilakukan kira-kira jam 1.30 pagi di sebuah jeti tidak berdaftar hasil maklumat dan risikan.
Katanya, pemeriksaan menemukan 1.82 juta batang rokok tidak bercukai pelbagai jenama yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.
“Pasukan turut menyita sebuah lori tiga tan, bot laju berukuran 9.1 meter panjang dan tiga meter lebar serta tiga enjin sangkut 200 kuasa kuda.
“Nilai keseluruhan rampasan pertama dianggarkan RM2.564 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Amri berkata, hasil maklumat susulan tangkapan itu membawa pasukan ke sebuah lagi bot laju yang disembunyikan di celah pokok bakau di sungai sama.
“Pemeriksaan bot berkenaan menemukan 1.73 juta batang rokok tidak bercukai pelbagai jenama.
“Bot yang dilengkapi tiga enjin sangkut Yamaha 200 kuasa kuda itu bersama muatannya disita dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM2.326 juta,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua bot bersama semua barangan rampasan dibawa ke Jeti Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut.
Dalam operasi berasingan sehari sebelumnya, katanya, PPM Wilayah 4 Sabah turut menyerbu sebuah gudang tidak bernombor di Kampung Dambai, Jalan Tuaran Bypass, Kota Kinabalu.
“Serbuan itu menemukan 43,200 tin minuman keras disyaki tidak bercukai bernilai RM478,506.
“Ini menjadikan keseluruhan nilai rampasan dalam ketiga-tiga serbuan berjumlah RM5.36 juta,” katanya.
Menurutnya, semua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.
Untuk rekod, sejak Januari hingga 15 September lalu, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 61 kes mengikut Akta Kastam 1967 dengan nilai rampasan RM8.38 juta serta 40 tangkapan.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



