TANGGUNGJAWAB TERHADAP MUALAF TIDAK BERAKHIR SELEPAS SYAHADAH

TAHNIAH: Hajiji menyampaikan hadiah kepada pemenang pada majlis itu.

KOTA KINABALU: Tanggungjawab terhadap saudara baharu tidak terhenti selepas mereka  melafazkan  dua  kalimah  syahadah,  sebaliknya  memerlukan bimbingan, perhatian, kasih sayang dan sokongan berterusan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor  berkata,  saudara  baharu  perlu  terus  disantuni  menerusi  pendidikan  agama, bimbingan  kerohanian,  kebajikan,  pembangunan  ekonomi,  latihan  kemahiran  serta sokongan sosial supaya mereka mampu menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim dengan penuh keyakinan, ketenangan dan istiqamah.

“Kita mahu melahirkan mualaf yang bukan sahaja memahami Islam, tetapi merasai keindahan  Islam;  bukan  sahaja  menjadi  penerima,  tetapi  akhirnya  mampu  menjadi penyumbang; bukan sahaja dibimbing, tetapi suatu hari nanti mampu membimbing orang lain,” katanya.

Beliau  berkata  demikian  ketika  berucap  pada  Majlis  Perasmian  Penutupan  dan Penyampaian  Hadiah  Ijtima’  Amal  Islami  Mualaf  Madani  (IJMAM)  Peringkat Kebangsaan Tahun 2026, di sini kelmarin.

Hajiji  berkata,  IJMAM  bukan  sekadar  pertandingan  atau  perhimpunan,  sebaliknya wadah untuk memperkukuh kefahaman Islam, mencungkil bakat, membina keyakinan diri, membentuk jati diri serta mengeratkan ukhuwah dalam kalangan saudara baharu dari seluruh Malaysia.

Katanya, tema ‘Memperkasa Mualaf, Memperkukuh Ummah’ membawa mesej jelas bahawa  pembangunan  mualaf  adalah  sebahagian  daripada  agenda  besar pembangunan ummah.

Menurutnya, dalam konteks Sabah yang kaya dengan kepelbagaian etnik, budaya, bahasa dan agama. Pendekatan dakwah hendaklah sentiasa dilaksanakan dengan hikmah, kasih sayang, kesederhanaan, kebijaksanaan dan menghormati kepelbagaian masyarakat.

“Islam  yang  kita  dakwahkan  hendaklah  dizahirkan  melalui  akhlak.  Islam  yang  kita perjuangkan hendaklah diterjemahkan melalui perbuatan.

Dan Islam yang kita hayati hendaklah melahirkan masyarakat yang aman, penyayang, saling menghormati dan saling membantu,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri akan terus menyokong usaha yang dapat memperkasa masyarakat termasuk komuniti mualaf supaya mereka mempunyai peluang untuk maju, berdikari dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negeri serta negara, selaras aspirasi Sabah Maju Jaya yang memberi penekanan kepada pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat secara inklusif.

Pada  masa  sama,  Hajiji  berharap  peserta  dari  seluruh  negara  memanfaatkan kesempatan berada di Sabah untuk mengenali keindahan dan keunikan negeri itu, termasuk khazanah alam semula jadi, budaya, adat resam dan masyarakatnya yang hidup dalam suasana harmoni.

Katanya, keindahan Sabah bukan hanya terletak pada alam semula jadi, tetapi juga pada rakyatnya yang terkenal dengan keramahan, semangat kekitaan, kepelbagaian budaya dan kehidupan masyarakat yang saling menghormati.

“Saya berharap para peserta IJMAM dari seluruh Malaysia bukan sahaja membawa pulang hadiah dan kenangan daripada program ini, tetapi turut membawa pulang satu pengalaman bahawa Sabah ialah negeri yang indah alamnya, kaya budayanya, mesra rakyatnya dan besar potensinya,” katanya.

Hajiji berkata, apabila sektor pelancongan, budaya, ekonomi dan pembangunan insan bergerak seiring, manfaatnya akan kembali kepada rakyat menerusi peluang kepada usahawan, pengusaha kecil, penggiat seni dan budaya, komuniti luar bandar serta generasi muda untuk menjana pendapatan dan membina masa depan lebih baik.

Beliau  turut  menyeru  saudara  baharu  supaya  tidak  membiarkan  semangat  IJMAM berakhir selepas program itu, sebaliknya terus hidup dalam keluarga, masyarakat dan usaha membangunkan ummah.

“Jadilah saudara baharu yang bukan sahaja menerima bimbingan, tetapi pada suatu hari nanti mampu pula menjadi pembimbing. Jadilah pendakwah. Jadilah pemimpin. Jadilah inspirasi. Dan jadilah bukti bahawa hidayah Allah mampu mengubah kehidupan seseorang menjadi lebih baik dan lebih bermakna,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

PROGRAM JUALAN RAHMAH MADANI

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2026-2030 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi)      …

MANFAATKAN AI, MEDIA SOSIAL PELIHARA BAHASA DAN IDENTITI ORANG ASAL

KENANGAN: Ewon (empat kanan) merakamkan gambar kenangan semasa di majlis itu. KOTA MARUDU: Persatuan-persatuan etnik dan kebudayaan di negeri ini …

TANGGUNGJAWAB TERHADAP MUALAF TIDAK BERAKHIR SELEPAS SYAHADAH

TAHNIAH: Hajiji menyampaikan hadiah kepada pemenang pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tanggungjawab terhadap saudara baharu tidak terhenti selepas mereka  melafazkan …