TANGKAP: Antara PTI yang berjaya ditahan JIM Sabah dalam operasi penguatkuasaan di seluruh negeri.
KOTA KINABALU: Seramai 133 pendatang tanpa izin (PTI), termasuk 27 kanak-kanak, ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam 20 operasi penguatkuasaan di seluruh negeri, bermula 27 Ogos hingga 3 September lalu.
Pengarah JIM Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof berkata, sebanyak 289 individu diperiksa sepanjang operasi berkenaan yang dijalankan di pelbagai lokasi strategik.
Menurutnya, daripada jumlah itu, 133 individu ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
“Jumlah tangkapan membabitkan 97 warga Filipina terdiri daripada 45 lelaki, 25 wanita, 18 kanak-kanak lelaki dan sembilan kanak-kanak perempuan.
“Turut ditahan ialah 32 warga Indonesia membabitkan 27 lelaki dan lima wanita serta empat lelaki warga Pakistan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Sitti Saleha berkata, penguatkuasaan akan terus dipergiatkan secara berterusan di lokasi strategik seluruh Sabah bagi membanteras kehadiran PTI selain menangani penyalahgunaan kemudahan imigresen.
Katanya, tindakan itu penting bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen serta membendung aktiviti yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar undang-undang negara.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan PTI boleh menyalurkannya kepada JIM Sabah melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau Sistem Pertanyaan Online (SPO),” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



