MANFAATKAN AI, MEDIA SOSIAL PELIHARA BAHASA DAN IDENTITI ORANG ASAL

KENANGAN: Ewon (empat kanan) merakamkan gambar kenangan semasa di majlis itu.

KOTA MARUDU: Persatuan-persatuan etnik dan kebudayaan di negeri ini diminta memanfaatkan sepenuhnya teknologi kecerdasan buatan (AI) serta media sosial untuk memelihara dan mendokumentasikan identiti orang asal Sabah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick berkata, usaha memelihara identiti orang asal termasuk bahasa, adat dan budaya tidak seharusnya hanya bergantung kepada bahan bercetak seperti buku dan kamus, sebaliknya memerlukan pendekatan baharu.

“Kaedah pemeliharaan perlu dipelbagaikan menerusi pendekatan digital yang lebih dekat dengan generasi masa kini.

“Kita boleh menggunakan AI dan media sosial untuk membangunkan kamus digital serta menghasilkan kandungan bersesuaian mengenai bahasa, adat dan budaya masyarakat kita yang lebih mudah diakses, khususnya oleh generasi muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Mongompok Batas anjuran United Sabah Tindal Organisation (USTO), di sini kelmarin.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan turut menggalakkan persatuan etnik menjalin kerjasama dengan persatuan lain bagi menghasilkan lebih banyak kandungan digital yang dapat memperkenalkan keunikan identiti masyarakat orang asal serta memastikan bahasa dan warisan mereka tidak luput ditelan zaman.

“Kita mesti mempunyai pendekatan baharu dalam membangunkan masyarakat dan memastikan identiti kita terus terpelihara. Siapa lagi yang akan mengetengahkan bahasa, adat dan budaya kita kalau bukan kita sendiri,” katanya.

Pada masa sama katanya, usaha mempertahankan identiti orang asal perlu bergerak seiring dengan pembangunan ekonomi dan keusahawanan.

Katanya, program anjuran persatuan etnik boleh diperkasakan dengan pengisian keusahawanan, termasuk menerusi penganjuran ekspo atau tamu kampung dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET).

“Kita bukan hanya mahu mempertahankan serta memelihara sistem adat, identiti dan bahasa, tetapi pada masa sama mahu masyarakat kita maju dan menjadi usahawan,” katanya.

Sementara itu, Presiden USTO, James Baga berkata, pihaknya sedang mengusahakan penerbitan kamus tiga bahasa, iaitu Tindal, Melayu dan Inggeris.

Beliau berkata, kamus itu akan menjadi bahan rujukan kepada generasi muda supaya mereka dapat mempelajari dan mengenali bahasa ibunda sendiri.

“Saya percaya kamus ini akan menjadi rujukan anak-anak kita pada masa akan datang dan membantu memastikan bahasa Dusun Tindal tidak pupus ditelan zaman.

“Ini kerana terdapat kajian yang menjangkakan banyak bahasa etnik, khususnya di Sabah, mungkin semakin pupus dalam tempoh 50 tahun akan datang sekiranya tiada usaha berterusan untuk memeliharanya,” katanya.

Menurutnya, kebimbangan itu semakin ketara apabila generasi muda kurang bertutur dalam bahasa ibunda dan lebih banyak menggunakan bahasa Melayu atau Inggeris, termasuk ketika berkomunikasi di rumah.

James berkata, USTO turut mendokumentasikan adat istiadat masyarakat Tindal, termasuk adat perkahwinan, pertunangan dan amalan tradisi lain dalam bentuk buku untuk dijadikan rujukan.

“Ini antara usaha kita untuk memastikan bahasa, adat dan identiti masyarakat Tindal tidak hilang serta terus diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

JIMAT TENAGA ATAU CEKAP TENAGA – SAMA KE?

Ramai mungkin menganggap kedua-duanya sama, tetapi sebenarnya ada perbezaan. Jimat tenaga ialah usaha mengurangkan penggunaan tenaga, contohnya memadamkan lampu atau …

BELANJAWAN MADANI 2027: APLIKASI AI NSRC KESAN SCAM PERKUKUH PERLINDUNGAN RAKYAT DARIPADA ANCAMAN PENIPUAN DIGITAL

Kerajaan MADANI menerusi Belanjawan 2027 memperkenalkan inisiatif pembangunan aplikasi kecerdasan buatan (AI) bagi memperkukuh keupayaan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) …

KESIAPSIAGAAN BANJIR: USAHA MELINDUNGI MURID DAN MEMASTIKAN KELANGSUNGAN PENDIDIKAN DI TERENGGANU

Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula pada hujung Oktober 2026 menuntut kesiapsiagaan menyeluruh bagi melindungi keselamatan warga pendidikan serta …