Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu (MPTN) dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Terengganu serta Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu menganjurkan Sambutan Hari Renjer Sedunia Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2026 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman pada 10 Ogos 2026.
Sambutan Hari Renjer Sedunia Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2026 merupakan sambutan tahun kedua bertujuan mengiktiraf jasa renjer dan anggota penguat kuasa dalam melindungi khazanah alam serta biodiversiti negeri, selain menekankan peranan mereka sebagai tulang belakang usaha pemuliharaan menerusi tema “Ranger: Guardians of a Changing Planet”.
Ancaman terhadap hidupan liar turut diberi perhatian menerusi perkongsian berkaitan pencerobohan, pemburuan haram dan intervensi agensi oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan PERHILITAN Semenanjung Malaysia, En. Mohammad Khairi bin Ahmad. Beliau memaklumkan populasi Harimau Malaya di Malaysia dianggarkan antara 250 hingga 340 ekor pada 2014 sebelum menurun kepada kurang daripada 150 ekor pada 2020, antaranya disebabkan pemburuan haram, kehilangan habitat serta konflik manusia dan hidupan liar.
Majlis yang disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar itu turut menyaksikan pelancaran Pelan Strategik Kenyir Rangers 2026–2030, sebagai usaha memperkukuh peranan renjer dalam melindungi khazanah hutan dan biodiversiti negeri. Beliau turut menyeru para renjer agar terus melaksanakan amanah dengan penuh integriti, keberanian dan dedikasi dalam menghadapi pelbagai ancaman terhadap alam semula jadi.
Sumber: FB Korporat Suk Terengganu



