TERENGGANU NEGERI PALING BAHAGIA

Musim cuti umum atau cuti persekolahan memberi peluang kepada rakyat Malaysia meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.  Bagi ramai yang merancang percutian dalam negara, Terengganu terus menjadi antara destinasi pilihan utama kerana menawarkan gabungan keindahan alam semula jadi, kekayaan budaya, pengalaman pembelajaran dan suasana yang tenang untuk seisi keluarga.

Ketika dunia masih berdepan ketidaktentuan geopolitik termasuk konflik yang berlarutan di Timur Tengah, ramai pelancong kini lebih cenderung memilih destinasi domestik yang selamat, mudah diakses dan menawarkan nilai terbaik untuk wang yang dibelanjakan.  Dalam konteks ini, Terengganu tampil sebagai pilihan yang bukan sahaja menjimatkan, malah mampu memberikan pengalaman percutian bertaraf antarabangsa.

Sepanjang musim cuti sekolah, laluan ke negeri Pantai Timur itu menyaksikan peningkatan kehadiran pelancong ke negeri paling ‘bahagia’.

Selain menikmati keindahan pantai dan pulau-pulau yang terkenal, ibu bapa turut menjadikan percutian sebagai platform pendidikan tidak formal untuk memperkenalkan sejarah, budaya dan warisan tempatan kepada generasi muda.

Nama-nama seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Kapas dan Pulau Lang Tengah sememangnya tidak asing dalam kalangan pelancong tempatan mahupun antarabangsa.

Kejernihan air laut, keindahan terumbu karang serta panorama semula jadi yang memukau menjadikan pulau-pulau ini antara destinasi paling dicari ketika musim cuti.

Selain pulau, Terengganu turut memiliki deretan pantai yang indah dan sesuai untuk aktiviti keluarga seperti Pantai Batu Buruk, Pantai Penarik, Pantai Kelulut, Pantai Pandak dan Pantai Kemasik.

Keindahan matahari terbit yang menjadi identiti Pantai Timur sering kali menjadi pengalaman yang sukar dilupakan oleh pengunjung.

Namun, daya tarikan Terengganu tidak terhad kepada alam semula jadi semata-mata. Negeri ini kaya dengan identiti budaya yang masih dipelihara dengan baik.

Dialek Terengganu yang unik, seni pembuatan bot tradisional, tenunan songket, batik serta pelbagai makanan warisan seperti nasi dagang, sata dan keropok lekor memberikan pengalaman yang berbeza kepada para pelancong.

Malah, interaksi mesra masyarakat setempat menjadikan ramai pengunjung berasa seperti berada di kampung sendiri.

Nilai hospitaliti yang tinggi dan budaya saling menghormati yang diamalkan masyarakat Terengganu mewujudkan rasa kesepunyaan serta ‘lebih dekat’ antara satu sama lain menjadikan pengalaman percutian lebih bermakna.

Terengganu juga semakin dikenali sebagai destinasi edu-tourism atau pelancongan pendidikan.  Kewujudan institusi seperti Universiti Malaysia Terengganu (UMT) membuka peluang kepada pelawat untuk memahami dengan lebih dekat mengenai biodiversiti marin, pemuliharaan terumbu karang, ekonomi biru dan kelestarian alam sekitar.  Pemilihan Terengganu sebagai destinasi pelancongan bukan sahaja merancakkan ekonomi komuniti setempat melalui peningkatan pendapatan dan peluang pekerjaan, malah menawarkan pilihan percutian yang lebih menjimatkan kepada keluarga.

Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, pelancongan domestik merupakan pilihan yang lebih bijak dan berhemat.

Setiap ringgit yang dibelanjakan pelancong domestik akan memberi limpahan manfaat kepada ekonomi setempat melalui sektor penginapan, pengangkutan, makanan dan perusahaan kecil komuniti.

Terengganu menawarkan gabungan lengkap antara rekreasi, pendidikan, budaya dan alam semula jadi. Ini menjadikannya destinasi yang sesuai untuk ibu bapa membawa anak-anak mengenali kekayaan warisan negara sambil menikmati percutian yang menyeronokkan.

Konsep pelancongan berasaskan komuniti yang semakin berkembang di negeri ini turut membantu meningkatkan pendapatan penduduk tempatan serta mengukuhkan ekosistem pelancongan yang mampan.

Lebih membanggakan, Terengganu turut diiktiraf sebagai negeri paling bahagia di Malaysia, mencerminkan kesejahteraan hidup masyarakatnya. Faktor tersebut secara tidak langsung menyumbang kepada pengalaman pelancongan yang lebih positif kerana pengunjung dapat merasai sendiri suasana kehidupan yang aman, mesra dan harmoni.

Terengganu membuktikan bahawa destinasi percutian terbaik tidak semestinya berada di luar negara.  Keindahan pulau dan pantai, kekayaan budaya, keramahan penduduk, peluang pembelajaran serta kos yang lebih berpatutan menjadikan negeri ini pilihan ideal untuk seisi keluarga.

 

#sumber UPDI Terengganu

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …