TAMAN BONSAI SEMULA JADI PERMATA CBL

Terengganu bukan sahaja sinonim dengan keindahan pantai dan pulau-pulau peranginan, malah turut menyimpan khazanah alam yang masih belum diterokai sepenuhnya.

Jika Tasik Kenyir di Hulu Terengganu terkenal dengan pokok Melunak terbesar di Asia Tenggara, Hutan Simpan Pasir Raja di Hulu Dungun pula menyembunyikan satu lagi permata alam yang unik, iaitu kewujudan ratusan pokok bonsai semula jadi di puncak Gunung Cemerung, Berembun dan Langsir (CBL). Keunikan formasi bonsai yang terbentuk secara semula jadi itu menjadikannya antara tarikan luar biasa yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan pendaki, selain berpotensi besar sebagai produk ekopelancongan bertaraf dunia.

Hutan hujan tropika yang masih terpelihara di kawasan berkenaan turut menjadi habitat kepada pelbagai spesies flora dan fauna yang memukau. Sepanjang trek pendakian menuju ke puncak Gunung Berembun, pengunjung disajikan dengan pelbagai keunikan alam, antaranya pokok Meraga berlubang yang menjadi lokasi wajib bergambar. Batangnya yang berongga dari bawah hingga ke atas, namun masih hidup dan teguh berdiri, dipercayai berusia puluhan hingga ratusan tahun, sekali gus menjadi simbol kekuatan dan keajaiban alam semula jadi.

Selain itu, pendaki turut berpeluang melihat pokok Seraya gergasi yang menjadi ikon trek CBL. Saiz batangnya yang dianggarkan selebar sebuah kereta kompak menjadikannya antara pokok terbesar di kawasan hutan simpan berkenaan. Namun, untuk menikmati keindahan itu, pendaki perlu melepasi cabaran Bukit Taubat, iaitu cerun curam yang menguji ketahanan fizikal dan mental. Seorang pendaki, Ahmad Shukri Abdul Ghani, 41, berkata kekuatan mental menjadi faktor utama untuk menakluk laluan berkenaan.

“Bukit Taubat memang mencabar kerana cerunnya sangat curam, tetapi dengan bantuan tali dan tangga, kami berjaya mendakinya,” katanya. Selepas melepasi cabaran itu, pendaki akan disambut panorama luar biasa berupa ratusan pokok bonsai semula jadi yang tumbuh di puncak Gunung Berembun. Bentuknya yang unik serta pertumbuhan secara semula jadi menjadikan kawasan itu antara lokasi paling menarik dan jarang ditemui di negara ini.

Bagaimanapun, faktor perubahan cuaca dipercayai memberi kesan terhadap kelangsungan pokok bonsai berkenaan. Tinjauan mendapati keadaan cuaca panas berpanjangan telah merencatkan pertumbuhannya, malah terdapat laporan mengenai pokok bonsai yang mati.

Bagi memastikan khazanah alam itu terus terpelihara, Pejabat Perhutanan Negeri Terengganu sentiasa memantau keadaan kawasan berkenaan. Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, langkah kawalan turut diambil bagi mengelakkan pencerobohan. “Kita pastikan kawasan bonsai ini sentiasa terjaga dan tidak dicerobohi. Pemantauan akan dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan kelestariannya,” katanya.

Walaupun CBL sudah terkenal dalam kalangan pendaki, destinasi itu masih kurang dikenali masyarakat umum. Seorang lagi pendaki, Muhd Rushdi Samsudin, 42, berpendapat potensi kawasan itu perlu diketengahkan sebagai produk pelancongan sukan dan ekopelancongan. “Dalam kalangan pendaki, CBL memang popular, tetapi bagi orang awam, ia masih belum dikenali. Promosi lebih meluas perlu dilakukan bagi menarik lebih ramai pengunjung,” katanya.

Selain panorama hutan dan bonsai semula jadi, kawasan sekitar Gunung Berembun kecil turut menyimpan satu lagi tarikan, iaitu aliran anak sungai yang jernih dan bersih. Airnya yang dikatakan kaya dengan mineral menjadi sumber semula jadi yang menyegarkan, sekali gus menambah daya tarikan kawasan tersebut.

Seiring usaha memajukan sektor pelancongan, pembangunan di kawasan CBL perlu dilaksanakan secara seimbang dengan pemuliharaan alam sekitar. Pendekatan itu penting bagi memastikan keindahan khazanah semula jadi di Hutan Simpan Pasir Raja terus terpelihara dan dapat dinikmati generasi akan datang.

 

Sumber:

  1. buletintv3.my

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …