Campuran ganja sintetik dalam cecair rokok elektronik (vape) mengakibatkan kerosakan neuropsikologi dan halusinasi ekstrem. Synthetic Cannabinoid atau kanabis buatan ini dikesan digunakan melalui pengambilan cecair vape.
la bukanlah “magic mushroom” seperti yang didakwa, sebaliknya ialah ganja sintetik berdasarkan hasil kajian Jabatan Kimia terhadap sampel yang diserahkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Bagaimanapun, kanabis buatan boleh menjejaskan kesihatan mental serta meningkatkan risiko kecederaan fizikal akibat kehilangan daya pertimbangan. Ini kerana kesannya lebih drastik dan sukar dijangka memandangkan ia tergolong dalam kategori dadah halusinogen.
Penagihannya juga boleh menyebabkan pengguna bertindak diluar kawalan, seperti percaya mereka ada kuasa luar biasa atau mampu terbang. Keadaan ini boleh mengundang kemalangan maut termasuk terjun dari bangunan tinggi atau melintas jalan tanpa menyedari bahaya.
Usaha pencegahan bermula di sekolah melalui pendidikan yang bukan sahaja memberi pendedahan malah membina keupayaan pelajar melalui penerapan kemahiran hidup dan gaya tahan diri serta penggalakkan gaya hidup bebas dadah menerusi penglibatan murid dalam aktiviti rekreasi dan khidmat komuniti.
Sumber: AADK & BERITA HARIAN



