TEKONG TERJUN LAUT, TINGGAL BOT BERSAMA 510 LITER PETROL

RAMPAS: Bot bersama muatan petrol yang dipercayai cuba diseludup dirampas Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

SANDAKAN: Seorang tekong dipercayai terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan pesisir pantai selepas botnya dipintas Maritim Malaysia dalam operasi penguatkuasaan di perairan Muara Sungai Mangkalinau Besar, di sini, semalam.

Dalam kejadian itu, suspek turut meninggalkan bot bersama muatan sebelum melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan operasi.

Pengarah Maritim Zon Sandakan, Kepten Maritim Suhairy Hussain, berkata bot berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan kira-kira 0.05 batu nautika timur Muara Sungai Mangkalinau Besar ketika rondaan menerusi Op Sejahtera, Op Cegah PATI (OCP) dan Op Tiris 4.0.

Katanya, pasukan operasi kemudian menghampiri dan memintas bot berkenaan untuk pemeriksaan sebelum suspek bertindak terjun ke laut.

“Sebaik pasukan operasi menghampiri bot tersebut, seorang lelaki yang dipercayai tekong bertindak terjun ke laut sebelum melarikan diri ke kawasan pesisir pantai bagi mengelakkan ditahan.

“Suspek turut meninggalkan bot bersama muatan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Suhairy berkata, hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan menemukan 17 jerican yang disyaki mengandungi 510 liter petrol, selain sebuah enjin sangkut Yamaha berkuasa 40 kuasa kuda (HP).

“Nilai keseluruhan rampasan membabitkan bot, petrol dan enjin sangkut dianggarkan RM12,500,” katanya.

Menurutnya, pihak Maritim Malaysia kini giat mengesan suspek berdasarkan maklumat serta dokumen yang ditinggalkan bagi membantu siasatan dan tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki membawa barang kawalan tanpa permit atau kebenaran yang sah.

“Bot berkenaan turut disyaki melakukan kesalahan mengikut Peraturan 12 Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 kerana menyalahgunakan lesen dengan membawa barangan kargo,” katanya.

Beliau berkata, semua barang rampasan dibawa ke Jeti Maritim Zon Sandakan sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Suhairy berkata tindakan suspek meninggalkan bot dan melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan operasi bukan sahaja membahayakan keselamatan diri, malah dipercayai antara taktik sindiket penyeludupan bagi mengelak tindakan penguatkuasaan.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti penyeludupan yang menjejaskan keselamatan negara serta mengakibatkan ketirisan barang kawalan.

“Rondaan dan operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi membanteras kegiatan jenayah maritim serta memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara terus terpelihara.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Sandakan di talian 089-229504 atau talian kecemasan 999,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …