Kebelakangan ini, negara dikejutkan dengan beberapa insiden amuk dan tikaman yang melibatkan pelajar sekolah sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa, pendidik serta masyarakat. Situasi ini menjadi peringatan bahawa usaha menjaga keselamatan warga sekolah tidak boleh dipandang enteng kerana malang tidak berbau. Justeru, langkah pencegahan yang lebih menyeluruh perlu dilaksanakan bagi memastikan sekolah terus menjadi persekitaran yang selamat, kondusif dan harmoni.
Antara cadangan yang boleh dipertimbangkan ialah memperkukuh aspek kawalan fizikal di sekolah. Pemeriksaan beg secara rawak dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pemasangan serta pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berisiko seperti tandas, kantin dan belakang blok, di samping penempatan guru bertugas di pintu keluar masuk ketika waktu rehat dan tamat sesi persekolahan mampu mengurangkan risiko berlakunya kejadian yang tidak diingini.
Selain itu, pendidikan dan kesedaran keselamatan perlu dijadikan budaya dalam kalangan pelajar. Pelaksanaan dril keselamatan sekurang-kurangnya dua kali setahun, program kaunseling proaktif, kempen anti-buli seperti Rakan Prihatin, serta taklimat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai bahaya membawa senjata dan jenayah belia dapat meningkatkan tahap kesedaran serta membentuk sahsiah pelajar yang lebih bertanggungjawab.
Dalam masa yang sama, sistem aduan yang mudah diakses juga perlu diwujudkan. Penyediaan saluran aduan kecemasan melalui WhatsApp rasmi sekolah secara anonim serta penubuhan Skuad Pelajar Prihatin sebagai mata dan telinga pihak sekolah mampu membantu mengesan isu lebih awal sebelum menjadi lebih serius. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Dengan kerjasama semua pihak, sekolah dapat terus menjadi tempat yang selamat untuk menimba ilmu dan membina masa depan generasi muda.
Sumber Rujukan : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/07/1381795/pelbagai-langkah-keselamatan-dilaksanakan-di-sekolah
Disediakan Oleh : Effi Ayu Qarmilia Catra Binti Jamaludin



