SIDANG MEDIA: Ahmad Taufik Ketika Mengadakan Sidang Media Mengenai Kes Cubaan Menyeludup 100 Kilogram (Kg) Sisik Tenggiling.
SANDAKAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah menggagalkan cubaan menyeludup 100 kilogram (kg) sisik tenggiling bernilai kira-kira RM1.3 juta yang dipercayai cuba dieksport ke luar negara menerusi Lapangan Terbang Sandakan.
Rampasan dilakukan dalam pemeriksaan berkala di pintu masuk kargo udara lapangan terbang itu kira-kira jam 2.30 petang pada 6 Julai lalu.
Pengarah Kastam Sabah, Dr Ahmad Taufik Sulaiman, berkata siasatan awal mendapati sisik tenggiling berkenaan dibawa dari Kota Kinabalu ke Sandakan menggunakan perkhidmatan bas ekspres sebelum dihantar ke kargo udara untuk tujuan eksport.
Katanya, sindiket menggunakan modus operandi dengan menyimpan sisik tenggiling di dalam plastik hitam sebelum dimasukkan ke dalam lima kotak, masing-masing seberat 20kg.
“Mereka turut mengikrarkan dagangan itu sebagai barangan lain dalam borang bagi mengelirukan pemeriksaan di pintu masuk kargo udara.
“Taktik ini dipercayai bagi mengelakkan pengesanan serta keperluan mendapatkan permit eksport untuk spesies hidupan liar yang dilindungi,” katanya pada sidang media, hari ini.
Menurutnya, setakat ini tiada tangkapan dibuat dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan individu atau sindiket yang terbabit.
Beliau berkata, sisik tenggiling adalah bahagian spesies terjadual yang perdagangan antarabangsanya dikawal serta memerlukan permit sah daripada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah.
“Rampasan ini akan diserahkan kepada JHL Sabah untuk tindakan lanjut, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 10 Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686).
“Ini adalah rampasan pertama membabitkan sisik tenggiling direkodkan JKDM Sabah tahun ini dan operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi mengekang aktiviti penyeludupan hidupan liar,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Taufik berkata, JKDM Sabah turut merampas 95,080 batang rokok seludup bernilai kira-kira RM67,000 termasuk cukai dalam dua serbuan berasingan di Kampung Bariawa, Batu 8 dan Batu 2 1/2, di sini.
Katanya, kedua-dua rampasan dibuat pada 15 dan 16 Jun lalu tanpa sebarang tangkapan.
“Siasatan mendapati sindiket menggunakan kawasan semak dan lokasi tersorok sebagai tempat penyimpanan sementara rokok seludup sebelum diedarkan ke pasaran tempatan bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki atau menyimpan barang larangan.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai terus menyalurkan maklumat kepada JKDM bagi membantu membanteras kegiatan penyeludupan yang bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, malah mengancam keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



