SABAH SASAR JADI HAB STEM UTAMA MALAYSIA TIMUR

PEMBENTANGAN: James (Duduk Kanan) Bergambar Bersama Dr Noraini (Duduk Kiri) Selepas Sesi Pembentangan Cadangan Penubuhan Pusat STEM Sabah Dan 24 Cawangan Daerah Di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Sabah menyasarkan untuk muncul sebagai hab utama pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Malaysia Timur menerusi cadangan penubuhan sebuah Pusat STEM Sabah di Kota Kinabalu serta 24 cawangan di seluruh daerah.

Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi Sabah, Datuk James Ratib berkata, cadangan itu merupakan langkah strategik bagi memperluaskan akses pendidikan STEM kepada semua lapisan masyarakat, khususnya pelajar di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Katanya, hasrat itu dizahirkan selepas menerima pembentangan cadangan penubuhan Pusat STEM Sabah daripada Pengarah Pusat STEM Universiti Malaya, Profesor Ir Dr Mas Sahidayana Mokhtar dan Presiden Persatuan STEM Kebangsaan, Profesor Emeritus Datuk Dr

Noraini Idris dalam Mesyuarat Pemerkasaan STEM yang berlangsung di pejabatnya pada Isnin.

“Kerajaan negeri mahu memastikan Sabah menjadi peneraju pendidikan STEM di Malaysia Timur dengan menyediakan ekosistem pembelajaran yang lengkap dan moden bagi melahirkan modal insan berkemahiran tinggi.

“Penubuhan pusat ini juga selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ) serta keperluan Revolusi Industri 4.0, ekonomi digital dan teknologi hijau,” katanya.

Beliau berkata, ibu pejabat Pusat STEM Sabah yang dicadangkan di Kota Kinabalu akan dilengkapi pelbagai kemudahan moden termasuk Akademi Latihan Guru STEM, Makmal Kecerdasan Buatan (AI), Makmal Robotik, Makmal Dron, Digital Fabrication Lab, Makerspace, Inkubator Startup Pelajar, Pusat Pameran Sains, Studio Digital serta Pusat Data STEM Sabah.

“Sebanyak 24 cawangan Pusat STEM Daerah turut dicadangkan diwujudkan di seluruh negeri termasuk di Penampang, Putatan, Tuaran, Kota Belud, Kudat, Kota Marudu, Pitas, Ranau, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Telupid, Tongod, Lahad Datu, Kunak, Semporna, Tawau, Kalabakan, Beaufort, Kuala Penyu, Sipitang, Tenom dan Keningau.

“Setiap pusat akan dilengkapi kemudahan pembelajaran berteknologi tinggi seperti makmal robotik, AI, dron, pengaturcaraan (coding), Internet Pelbagai Benda (IoT), percetakan 3D, studio multimedia, Makerspace serta bilik realiti maya (VR) dan realiti terimbuh (AR),” katanya.

James berkata, penubuhan rangkaian pusat itu akan menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat dalam bidang AI, robotik, dron, teknologi hijau dan inovasi, sekali gus menyediakan tenaga kerja mahir yang memenuhi keperluan industri masa depan.

Menurutnya, pelbagai program pembangunan bakat akan dilaksanakan termasuk Sabah Robotics Championship, Sabah Drone Challenge, Sabah AI Challenge, Digital Maker Festival, Science Camp, Girls in STEM, Program Teknologi Hijau, Space Science Programme, Junior Engineer Programme serta AI for Kids.

“Projek ini dianggarkan memerlukan pelaburan sebanyak RM195 juta, melibatkan RM75 juta bagi pembangunan ibu pejabat Pusat STEM Sabah di Kota Kinabalu dan RM120 juta bagi pembinaan 24 pusat STEM daerah.

“Pelaksanaannya dicadangkan dibiayai menerusi kerjasama Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Kementerian Pendidikan, Sains dan Teknologi Sabah (KPSTI), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), sektor industri, tanggungjawab sosial korporat (CSR), geran antarabangsa serta kerjasama awam-swasta (PPP),” katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh lima tahun, inisiatif itu menyasarkan penyertaan seramai 500,000 pelajar, melatih 20,000 guru dalam pedagogi STEM, menghasilkan 10,000 projek inovasi, menganjurkan 500 pertandingan STEM, mewujudkan 100 rakan strategik industri serta melahirkan 500 syarikat pemula teknologi pelajar.

Katanya, penubuhan Pusat STEM Sabah merupakan pelaburan strategik jangka panjang yang bukan sahaja mampu merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar, malah berpotensi menjadikan Sabah sebagai peneraju pembangunan bakat teknologi dan inovasi di Malaysia Timur.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …