Sebanyak 280 unjam akan dilabuhkan di perairan Terengganu tahun ini menerusi Program Pembangunan Unjam bagi memperkaya sumber perikanan sekali gus membantu meningkatkan hasil tangkapan nelayan pantai. Menurut Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu (JPNT), Pang Nyukang, sebanyak tujuh lokasi telah dikenal pasti untuk pelaksanaan program berkenaan dengan setiap lokasi akan menerima 40 unjam yang diperbuat daripada pembentung konkrit dan daun kelapa.
Lokasi pertama melibatkan perairan Kerteh yang telah dilaksanakan pada 5 Julai lalu. Unjam itu berperanan membantu meningkatkan pembiakan pelbagai spesies ikan, seterusnya memberikan manfaat kepada nelayan pantai. Unjam berkenaan akan dilabuhkan pada jarak dua hingga tiga batu nautika dari daratan dan pelaksanaannya akan melibatkan komuniti nelayan setempat.
Pada tahun lalu JPNT turut melabuhkan sebanyak 280 unjam berbanding 80 unjam pada 2024, sekali gus menunjukkan komitmen berterusan agensi itu dalam memperkukuh pembangunan sektor perikanan negeri. Sejak program pembangunan unjam diperkenalkan pada 2018, sebanyak 1,376 unjam telah dilabuhkan di perairan negeri ini sehingga 2025.
Seterusnya, menurut Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Terengganu (Penentu), Mat Yassim Mohamed, program tersebut mampu membantu nelayan pantai Zon A meningkatkan hasil tangkapan mereka. Unjam yang dilabuhkan dapat menarik lebih banyak spesies ikan ke kawasan berkenaan sekali gus meningkatkan produktiviti tangkapan serta pendapatan nelayan.
Selain itu, turut berharap pihak JPNT dapat menambah bilangan unjam untuk dilabuhkan di lebih banyak kawasan pada masa akan datang. Selain menjadi kawasan tumpuan hidupan marin, unjam tersebut juga berperanan sebagai penghalang kepada pencerobohan bot pukat tunda di kawasan pesisir pantai bagi melindungi sumber perikanan negeri.
Sumber: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/280-unjam-dilabuhkan-di-perairan-terengganu-tahun-ini-jpnt



