SINDIKET EDAR DADAH GUNA KURIER TUMPAS, EMPAT DITAHAN

TANGKAP: Empat suspek yang dipercayai terbabit dalam sindiket pengedaran dadah ditahan untuk siasatan lanjut.

SANDAKAN: Taktik sindiket pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan kurier untuk menghantar bekalan ke Sabah terbongkar apabila empat individu ditahan dalam tiga serbuan berasingan dengan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM233,000.

Operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan dengan kerjasama JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil, berkata serbuan pertama pada 29 Jun lalu berjaya menahan seorang wanita tempatan berusia 57 tahun selepas siasatan terhadap satu bungkusan Pos Laju yang disyaki mengandungi dadah.

“Hasil pemeriksaan menemui 207.44 gram pelet dipercayai ganja sebelum serbuan susulan di sebuah rumah di Taman Rimba membawa kepada penemuan 60 liter cecair hitam dipercayai mengandungi ganja bersama pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses bahan berkenaan.

“Nilai keseluruhan rampasan dalam kes itu dianggarkan RM16,595.20,” katanya dalam kenyataan media, di sini, semalam.

Beliau berkata, operasi kedua pada 2 Julai lalu pula membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang dipercayai mengambil sebuah bungkusan mengandungi 615.4 gram ketamin yang disembunyikan di dalam kotak pencetak.

Katanya, serbuan susulan di rumah suspek membawa kepada penahanan isterinya berusia 29 tahun serta rampasan tambahan membabitkan ketamin, serbuk jus berperisa disyaki dadah, pil ekstasi dan Eramin 5 dengan nilai keseluruhan RM137,584.33.

“Polis turut menyita sebuah Ford Ranger, Honda Civic, barang kemas, wang tunai RM12,300 serta beberapa barangan lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan pengedaran dadah itu,” katanya.

Alhusin berkata, dalam operasi berasingan pada hari sama, seorang lelaki warga Filipina berusia 37 tahun turut ditahan selepas dipercayai bertindak sebagai penghantar atau ‘runner’ sindiket.

“Pemeriksaan menemui 394.50 gram ketamin yang disembunyikan di dalam sepasang kasut dengan anggaran nilai RM78,900.

“Kesemua suspek didapati negatif dadah hasil ujian saringan awal dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …