AGROBANK PERLUAS PENDEKATAN TURUN PADANG, DEKATI PENJAJA DAN USAHAWAN DI BORNEO

Tinjau: Amir (Tengah) Dan Hussien (Kanan) Semasa Membuat Tinjauan Mesra Di Pasar Malam Jalan Gaya.

KOTA KINABALU: Agrobank meneruskan komitmen memperluas akses kewangan kepada penjaja dan usahawan mikro dengan membawa pendekatan turun padang ke Sabah, melibatkan Pasar Malam Api-Api, Jalan Gaya di Kota Kinabalu dan Pasar Tani Tamu Papar.

Peluasan ke Sabah ini merupakan kesinambungan kepada siri libat urus Agrobank di beberapa pasar tani sekitar Lembah Klang sebelum ini, sekali gus menandakan langkah penting dalam memperluas jangkauan inisiatif tersebut ke Borneo.

Sesi libat urus ini juga selaras dengan mandat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengarahkan agensi kewangan untuk turun padang bagi mempercepat penyaluran modal RM5 bilion kepada peniaga kecil.

Melalui pendekatan ini, Agrobank berusaha memastikan sokongan kewangan dapat disampaikan secara lebih dekat, bersasar dan mudah diakses oleh golongan peniaga yang memerlukan.

Pasar Malam Api-Api, Jalan Gaya melibatkan seramai 153 usahawan penjaja, manakala Pasar Tani Tamu Papar pula melibatkan 95 usahawan penjaja.

Pemilihan kedua-dua lokasi ini mengambil kira peranan pasar malam dan pasar tani sebagai nadi ekonomi setempat yang menghimpunkan peniaga kecil, usahawan mikro serta komuniti pengguna secara langsung.

ALBUM: Amir (Tengah), Hussien (Empat Kiri) Dan Sabin (Kiri) Merakamkan Gambar Kenangan Di Ruangan Reruai Agrobank Di Pasar Malam Jalan Gaya.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, berkata, peluasan sesi libat urus ke Sabah mencerminkan komitmen Agrobank untuk memastikan manfaat inisiatif kewangan tidak hanya tertumpu di kawasan bandar utama, tetapi turut menjangkau komuniti peniaga kecil di seluruh negara.

“Selepas pelaksanaan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang, kehadiran Agrobank di Sabah adalah langkah penting untuk memahami keperluan peniaga kecil di Borneo dengan lebih dekat.

“Setiap komuniti perniagaan mempunyai cabaran dan keperluan yang berbeza, justeru pendekatan turun padang membolehkan kami memberi penerangan serta sokongan yang lebih bersesuaian dengan realiti perniagaan mereka.

“Agrobank mahu memastikan penjaja dan usahawan mikro mempunyai akses yang lebih mudah kepada modal, khidmat nasihat kewangan serta sokongan bukan kewangan yang dapat membantu mereka mengurus dan mengembangkan perniagaan secara lebih tersusun dan mampan,” katanya.

Melalui sesi libat urus ini, Agrobank turut mengetengahkan kemudahan pembiayaan seperti Skim Usahawan Tani Agrobank x FAMA dan Agro Penjaja-i sebagai antara solusi yang dapat membantu penjaja, peniaga kecil dan usahawan tani.

Di Pasar Malam Api-Api, Agrobank memberi tumpuan kepada usaha mendekati peniaga dan penjaja secara langsung bagi mengenal pasti keperluan pembiayaan yang bersesuaian, khususnya dalam menyokong modal pusingan dan pengembangan perniagaan.

Setakat ini, Agrobank telah menerima permohonan pembiayaan melebihi RM8 juta, sekali gus mencerminkan sambutan positif peniaga terhadap pendekatan turun padang yang dilaksanakan Bank.

MENJELASKAN: Hussien (Tengah) Semasa Ditemui Media Di Ruangan Reruai Agrobank Di Pasar Malam Jalan Gaya.

Agrobank akan terus memperkukuh pendekatan turun padang bersama agensi berkaitan bagi memastikan komuniti penjaja, peniaga kecil dan usahawan mikro di seluruh negara mendapat akses kepada penyelesaian kewangan yang inklusif, relevan dan bersesuaian dengan keperluan perniagaan mereka.

Pada Sabtu, turut hadir di Pasar Malam Jalan Gaya ialah Menteri Kewangan II,  Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Ketua Pegawai Risiko Kumpulan Agrobank Hussien Mullar, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah serta tetamu kehormat yang lain.

Hussien semasa ditemui berkata, program yang diadakan itu adalah siri keenam daripada jelajah yang telah dirancang, selepas lima program terdahulu.

Katanya, bagi menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Agrobank bersama institusi kewangan lain turun bertemu para peniaga dan penjaja bagi memahami keperluan mereka serta menawarkan bantuan yang bersesuaian.

Setakat ini katanya, Agrobank telah menerima dan memproses permohonan pembiayaan bernilai kira-kira RM8 juta, yang menunjukkan sambutan positif daripada para peniaga.

Selain menawarkan pembiayaan katanya, pihak Agrobank turut mengambil peluang untuk mengenal pasti cabaran sebenar yang dihadapi peniaga, khususnya dalam keadaan ekonomi semasa yang dipengaruhi pelbagai faktor global, termasuk konflik di Timur Tengah.

Melalui pendekatan ini, Agrobank dapat menilai bentuk bantuan yang benar-benar diperlukan oleh golongan tersebut.

Antara kemudahan yang ditawarkan ialah Program Micro Relief, yang bertujuan membantu peniaga meneruskan perniagaan mereka walaupun berdepan keadaan ekonomi yang mencabar.

Diharapkan program ini dapat menarik lebih ramai peniaga dan penjaja untuk mendapatkan bantuan yang disediakan.

Dalam pada itu katanya, cabaran utama yang dihadapi peniaga ketika ini ialah peningkatan kos operasi akibat kenaikan harga barangan dan harga bahan api.

Selain itu katanya, persaingan perniagaan yang semakin sengit turut memberi tekanan kepada mereka, sedangkan permintaan pasaran masih berada pada tahap yang sama.

MESRA: Amir (Dua Kiri), Hussien (Dua Kanan) Dan Sabin (Kiri) Beramah Mesra Dengan Penjaja Di Pasar Malam Jalan Gaya.

Menurutnya, bagi membantu pelanggan yang menghadapi kesukaran membayar balik pembiayaan, Agrobank menyediakan ruang untuk mereka berbincang bagi mencari penyelesaian terbaik.

Katanya, matlamat utama Agrobank adalah memastikan peniaga terus bertahan dalam perniagaan. Apabila perniagaan dapat diteruskan, mereka berpeluang menjana pendapatan yang mencukupi dan seterusnya memenuhi komitmen pembayaran pembiayaan.

Selepas program di Kota Kinabalu dan Papar katanya, jelajah itu akan diteruskan ke beberapa lokasi lain, antaranya Seremban, Shah Alam dan Temerloh serta Sarawak.
 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …