KUNJUNGAN: Nizam (dua kanan) menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Persahabatan Malaysia-China Sabah.
KOTA KINABALU: Larian Persahabatan JOM! Malaysia-China 2026 menerima pengiktirafan rasmi daripada Kementerian Pembangunan Belia, Sukan dan Ekonomi Kreatif.
Baru-baru ini, Menteri Pembangunan Belia, Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menerima kunjungan hormat delegasi Persatuan Persahabatan Malaysia-China Sabah.
Nizam berkata, pertemuan itu membuka ruang kepada perbincangan mengenai pelbagai potensi kerjasama bagi memperkukuh hubungan dua hala antara Sabah dan China, khususnya dalam bidang pembangunan belia, sukan dan ekonomi kreatif.
Menurutnya, program pertukaran belia, pembangunan sukan serta kerjasama dalam sektor ekonomi kreatif merupakan antara inisiatif yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Beliau turut memuji usaha berterusan Persatuan Persahabatan Malaysia-China Sabah yang berperanan sebagai jambatan menghubungkan masyarakat pelbagai latar belakang, di samping menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi negeri.
Katanya, kerjasama itu diharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada belia Sabah untuk mengembangkan bakat, memperoleh pendedahan antarabangsa serta mengetengahkan potensi mereka di peringkat global.
Sementara itu, Naib Presiden Tetap merangkap Setiausaha Agung Persatuan Persahabatan Malaysia-China Sabah yang juga Ketua Penyelaras Larian Persahabatan JOM! Malaysia-China 2026, Steven Liaw, merakamkan penghargaan kepada Nizam dan kementerian atas sokongan yang diberikan terhadap penganjuran acara berkenaan.
Beliau berkata, jawatankuasa penganjur akan berusaha memastikan edisi tahun ini lebih bermakna dan berjaya, selain menjemput Nizam hadir sebagai tetamu kehormat pada acara itu.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



