Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Melaka dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Melaka serta rakan strategik yang terdiri daripada Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri Melaka, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Melaka, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Melaka dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka telah melaksanakan Program Table Top Exercise (TTX) dan Field Training Exercise (FTX) Latih Amal Ex Undi PER PRN 2026 sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 Negeri Melaka.
Pelaksanaan Table Top Exercise (TTX) telah diadakan pada 29 Jun 2026 bertempat di Dewan Datuk Kapt. (B) Haji Abdul Karim, Kompleks JAPERUN Tanjung Bidara, Masjid Tanah, Melaka. Program ini melibatkan sesi taklimat, perbincangan dan penyelarasan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pengurusan penugasan serta peranan setiap agensi yang terlibat sepanjang proses pilihan raya.
Latihan ini bertujuan memastikan semua pegawai dan wakil agensi memahami tanggungjawab masing-masing, selain memperkukuhkan koordinasi serta penyelarasan tindakan dalam menghadapi pelbagai kemungkinan situasi yang boleh berlaku sepanjang tempoh pelaksanaan Pilihan Raya Negeri.
Program diteruskan pada 30 Jun 2026 dengan pelaksanaan Field Training Exercise (FTX) yang berlangsung di lokasi sama melibatkan simulasi pengurusan ketenteraman awam. Latihan praktikal ini memberi penekanan kepada aspek kesiapsiagaan anggota dan keupayaan tindak balas dalam menangani sebarang insiden yang berpotensi menjejaskan keselamatan, ketenteraman awam serta kelancaran proses pilihan raya.
Beberapa senario telah dimainkan bagi menggambarkan situasi yang berkemungkinan berlaku semasa perjalanan pilihan raya, sekali gus menguji tahap kecekapan, koordinasi dan kerjasama antara semua agensi terlibat dalam memastikan setiap tindakan dapat dilaksanakan secara teratur dan berkesan.
Keseluruhan perjalanan Program Latih Amal TTX dan FTX Ex Undi PER PRN 2026 yang melibatkan sejumlah 395 orang pegawai dari semua agensi terlibat termasuk bantuan Unit PORU dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Bn. 6 Muar, Johor telah dipandu arah oleh YDH DCP Datuk M.V. Srikumar a/l Madhavan Nair, Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Kepolisan Am/Krisis Bencana) selaku moderator jemputan.

Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh, Ketua Menteri Melaka.
Secara keseluruhannya, Program Table Top Exercise (TTX) dan Field Training Exercise (FTX) Latih Amal Ex Undi PER PRN 2026 telah berlangsung dengan lancar serta mencapai objektif yang ditetapkan. Pelaksanaan latihan ini membuktikan kepentingan kerjasama erat, komitmen dan penyelarasan bersepadu antara semua agensi terlibat dalam memastikan setiap perancangan serta tindakan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Kerjasama strategik antara PDRM, agensi keselamatan, agensi kerajaan dan pihak berkaitan merupakan elemen penting dalam memperkukuhkan tahap kesiapsiagaan, menjamin keselamatan serta ketenteraman awam dan memastikan kelancaran proses demokrasi di Negeri Melaka.



