MARITIM MALAYSIA GAGALKAN CUBAAN SELUDUP 1,700 PAKET MINYAK MASAK BERSUBSIDI

RAMPASAN: Perahu bersama 1,700 paket minyak masak bersubsidi yang dipercayai cuba diseludup berjaya dirampas Maritim Malaysia.

 SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan menyeludup kira-kira 1,700 paket minyak masak bersubsidi dalam operasi di perairan Sandakan, awal pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain, berkata rampasan dilakukan kira-kira jam 3 pagi hasil maklumat awam mengenai sebuah perahu yang berada dalam keadaan mencurigakan di Jeti Nelayan Kampung Combo, di sini.

Beliau berkata, sepasukan anggota yang melaksanakan Op Sejahtera 1/2022, Op Cegah PATI (OCP) dan Op Tiris 4.0 digerakkan ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan.

“Bagaimanapun, sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa, individu yang berada di atas perahu terbabit bertindak terjun ke laut sebelum melarikan diri ke kawasan bakau berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhamad Suhairy berkata, pemeriksaan terhadap perahu berwarna hijau dan kuning itu menemui 100 bungkusan plastik hitam yang mengandungi paket minyak masak bersubsidi.

Beliau berkata, sebahagian bungkusan turut ditemui terapung di permukaan laut dan dipercayai dibuang suspek ketika cuba meloloskan diri.

“Hasil pemeriksaan mendapati kira-kira 1,700 paket minyak masak bersubsidi dipercayai disimpan tanpa kebenaran yang sah,” katanya.

Menurutnya, perahu bersama semua barang rampasan yang dianggarkan bernilai RM14,250 dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, manakala usaha mengesan suspek yang melarikan diri sedang giat dijalankan.

Beliau turut meminta orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan atau jenayah maritim kepada Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan menerusi talian 089-229504 atau talian kecemasan 999 bagi membantu usaha penguatkuasaan di perairan negara.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …