Lane hogger merujuk kepada pemandu yang memandu secara berterusan di lorong kanan lebuh raya pada kelajuan rendah atau sederhana tanpa memberi laluan kepada kenderaan lain. Sikap ini sering menjadi punca ketidakselesaan dan kemarahan pengguna jalan raya yang lain.
Di Malaysia, lorong kanan sepatutnya digunakan untuk memotong kenderaan sebelum kembali ke lorong kiri. Apabila seseorang pemandu terus berada di lorong kanan terlalu lama dengan pemanduan yang agak perlahan, ia boleh menyebabkan aliran trafik terganggu dan meningkatkan risiko kemalangan. Keadaan ini juga mendorong sesetengah pemandu melakukan tindakan berbahaya seperti memotong dari sebelah kiri atau mengekori kenderaan terlalu rapat.
Selain menjejaskan kelancaran trafik, ia juga boleh menyebabkan kesesakan terutama pada waktu puncak dan musim perayaan. Sikap tidak bertimbang rasa ini menunjukkan kurangnya kesedaran terhadap etika pemanduan serta hak pengguna jalan raya yang lain.
Bagi mengelakkan masalah ini, pemandu perlu memahami fungsi setiap lorong dan sentiasa mematuhi peraturan jalan raya. Selepas memotong, kembalilah ke lorong kiri apabila keadaan selamat. Sikap bertolak ansur dan berhemah ketika memandu mampu membantu mewujudkan persekitaran jalan raya yang lebih selamat dan lancar.
Pemanduan yang berhemah bukan sahaja melindungi diri sendiri, malah turut menjaga keselamatan semua pengguna jalan raya. Ingat, jalan raya dikongsi bersama. Pandu cermat, sampai selamat.
Sumber : Instagram Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Terengganu



