IEM SABAH DISERU TERAJUI INOVASI, PENDIGITALAN DAN IR4.0

ALBUM: Joachim (duduk, tengah) bersama Presiden IEM Ir. Yau Chau Fong (duduk, dua kiri), Pengerusi IEM Sabah baharu, Ir. Ts. Tan KJ (duduk, tiga kiri) dan Mantan Pengerusi IEM Sabah, Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Hj. Jaafar (duduk, tiga kanan) merakamkan gambar kenangan dengan jawatankuasa baharu IEM Sabah.

KOTA KINABALU: Institut Jurutera Malaysia (IEM) Sabah diminta agar menerajui inovasi serta mempercepatkan penerapan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, usaha itu termasuk memajukan kejuruteraan digital, infrastruktur pintar dan teknologi hijau bagi meletakkan Sabah pada kedudukan yang kukuh dalam ekonomi masa depan.

“Menerusi profesionalisme dan integriti, IEM Sabah akan mengangkat martabat jurutera sebagai tonggak masyarakat yang dipercayai. Ini bukan sekadar kerjasama, tetapi satu misi bersama untuk membina masa depan Sabah,” katanya pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-51 IEM Sabah, di sini pada Sabtu.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam.

Hajiji yakin IEM Sabah akan memainkan peranan yang lebih aktif dalam bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan standard tertinggi dalam kualiti projek, keselamatan dan kemampanan.

“Ini termasuk mempercepatkan pembangunan jurutera tempatan ke arah memperoleh status Jurutera Profesional (PE) serta membina tenaga kerja kejuruteraan yang kukuh dan berdikari untuk Sabah,” katanya.

Hajiji berkata, jurutera pada masa kini bukan sahaja pembina negara, tetapi juga arkitek penyelesaian dan rakan strategik dalam tadbir urus.

“Menerusi pelan hala tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0), kerajaan negeri telah menetapkan agenda yang berani dan transformatif dengan keutamaan yang jelas iaitu memperkukuh jaringan infrastruktur, mempercepat pertumbuhan industri dan ekonomi, memastikan pengurusan sumber yang mampan serta memperkasa modal insan berkualiti tinggi.

“Kita tidak mampu mencapainya bersendirian. Kerjasama dan usaha anda semua amat penting untuk merealisasikan agenda ini demi kebaikan negeri dan rakyat kita,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri melihat IEM Sabah bukan sekadar sebuah badan profesional, tetapi sebagai rakan strategik dalam pembangunan negeri.

“Pada masa hadapan, kerjasama ini perlu diperkukuhkan dengan matlamat dan impak yang lebih besar,” katanya.

Beliau berharap IEM Sabah akan terus melahirkan jurutera yang bukan sahaja cemerlang dari segi teknikal dan berfikiran jauh, tetapi juga berpegang teguh kepada etika serta bertanggungjawab secara profesional, selain berdaya saing di peringkat global tanpa mengabaikan keperluan Sabah.

“Ini adalah pelaburan kita untuk generasi muda agar mereka menjadi arkitek kepada fasa pertumbuhan Sabah yang seterusnya,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

PROGRAM JUALAN RAHMAH MADANI

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2026-2030 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi)  Program Jualan …

PROGRAM JUALAN RAHMAH MADANI

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2026-2030 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi)  Program Jualan …

PROGRAM JUALAN RAHMAH MADANI

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2026-2030 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi)  Program Jualan …