PELANCARAN: Ewon (tiga kiri) bersama tetamu jemputan melancarkan gimik perasmian majlis itu.
KOTA KINABALU: Naik taraf Terminal Feri Jesselton Point di sini seiring dengan statusnya sebagai prasarana strategik yang bakal menjadi pemangkin utama kepada pembangunan industri pelancongan Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, Terminal Feri Jesselton Point menerima peningkatan jumlah penumpang pada 2025 iaitu seramai 552,369 penumpang berbanding 388,395 penumpang pada tahun sebelumnya.
Menurutnya, dalam konteks berkenaan, Terminal Feri Jesselton Point memainkan peranan yang signifikan dalam memperkukuh penawaran pelancongan, khususnya segmen pelancongan berasaskan pulau dan marin yang menjadi antara produk utama pelancongan teras negeri terutamanya di kota Kinabalu dan daerah sekitarnya.
Beliau berkata, penaiktarafan terminal feri itu mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa serta diperkasakan melalui integrasi sistem digital dan operasi fizikal yang lebih cekap, teratur dan berkesan.
“Pelaksanaan sistem tiket elektronik, pengurusan penumpang secara bersepadu dan penggunaan teknologi pintar dalam operasi harian mencerminkan peralihan ke arah konsep terminal pintar yang lebih moden dan responsif,” katanya.
Hajiji berkata demikian pada majlis perasmian Terminal Feri Jesselton Point baharu di sini semalam. Teks ucapannya disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Datuk Ewon Benedick.
Dalam pada itu, beliau yakin terminal baharu ini akan dapat menampung peningkatan penumpang sesuai dengan ketibaan pelawat yang semakin meningkat.
“Ia berdasarkan rekod seramai 3.8 juta pada tahun lalu iaitu peningkatan lebih 20 peratus berbanding tahun sebelumnya dan menjana RM8.7 billion hasil pelancongan.
“Sejak lebih dua dekad yang lalu, Terminal Feri Jesselton Point memainkan peranan penting sebagai laluan utama ke pulau-pulau peranginan di Taman Tunku Abdul Rahman, sebuah khazanah alam yang menjadi kebanggaan negeri serta tarikan utama bagi pelancong domestik dan juga antarabangsa.
“Terminal ini bukan sekadar menyediakan kemudahan pengangkutan, malah berfungsi sebagai mercu tanda penting Bandaraya Kota Kinabalu, yang menghubungkan pengunjung ke gugusan pulau seperti Manukan, Gaya, Sapi dan Mamutik, dan pulau-pulau sekitarnya, sekali gus memperkukuh peranan bandar raya ini sebagai salah satu hab pelancongan maritim utama negara,” jelasnya.
SIMBOLIK: Para tetamu jemputan memotong riben sebagai simbolik pelancaran Terminal Feri Jesselton Point semalam.
Beliau turut yakin, dengan adanya terminal yang selesa ini, ia akan meningkatkan keyakinan pelancong domestik dan antarabangsa untuk berkunjung ke pulau-pulau pelancongan yang ada di sekitar ibu negeri.
Katanya, ia secara langsung akan merancakkan ekonomi setempat, membuka peluang perniagaan, dan meningkatkan taraf hidup penduduk.
“Usaha ini juga sudah pasti akan membantu dalam mencapai sasaran lebih empat juta pelancong ke Sabah tahun ini.
“Sempena Tahun Melawat Malaysia pada tahun ini, pembangunan baharu infrastruktur Terminal Feri Jesselton Point ini dilihat dapat memperkukuh lagi kedudukan Sabah sebagai hab pelancongan maritim utama di rantau ASEAN,” katanya.
Hajiji berkata, pembangunan terminal ini adalah selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang menekankan pertumbuhan ekonomi berimpak tinggi, pemerkasaan ekonomi biru serta pelancongan mampan sebagai antara teras utama kemajuan negeri.
Menurutnya, inisiatif itu sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk memperkukuh lagi kedudukan Sabah sebagai hab pelancongan maritim yang berdaya saing dan maju.
“Kerajaan negeri komited dalam memastikan pembangunan ini dilaksanakan secara bertanggungjawab, seiring dengan pemeliharaan alam sekitar serta kesejahteraan komuniti setempat agar kemajuan yang dicapai adalah menyeluruh.
“Selain itu, Terminal Feri Jesselton Point ini juga terletak di dalam pembangunan Jesselton Waterfront City yang bernilai kira-kira RM9.2 bilion bakal membentuk landskap baharu pesisir Kota Kinabalu sebagai destinasi bertaraf dunia,” katanya.
Beliau mengucapkan syabas kepada Suria Capital Holdings Berhad serta anak syarikatnya, Suria Bumiria Sdn Bhd, atas komitmen dan dedikasi dalam merealisasikan projek terminal feri ini dengan jayanya.
Tambahnya, kejayaan itu mencerminkan kesepaduan antara kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta amat penting dalam menjayakan agenda pembangunan negeri ini.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



