RAMPAS: Jauteh menunjukkan rampasan dadah semasa sidang media terbabit.
KOTA KINABALU: Polis Sabah membongkar dua sindiket pengedaran dadah menerusi beberapa siri serbuan di Semporna, Kota Kinabalu, Penampang dan Sipitang dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan lebih RM3.25 juta.
Operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah itu berjaya merampas pelbagai jenis dadah termasuk syabu, cecair THC, ganja dan serbuk ekstasi.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, kes pertama membabitkan penahanan seorang lelaki berusia 26 tahun di sebuah taman perumahan Jalan Seri Melor Tinagayan, Semporna pada 3 Mei lalu.
Katanya, pemeriksaan terhadap suspek menemukan 15 kotak mengandungi vape dan cecair disyaki dadah jenis THC.
“Rampasan membabitkan 10,000 kartrij vape pelbagai jenis dianggarkan seberat 20 kilogram serta dua botol gelen mengandungi cecair disyaki THC seberat 11 kilogram.
“Jumlah keseluruhan rampasan bagi kes ini dianggarkan seberat 31 kilogram dengan nilai kira-kira RM93,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah, semalam.
Menurutnya, siasatan lanjut membawa kepada beberapa lagi serbuan susulan di Kota Kinabalu dan Tawau.
Katanya, tiga individu lagi termasuk seorang wanita berjaya diberkas bagi membantu siasatan.
“Semua suspek dipercayai berperanan dalam urusan transaksi dan penghantaran kotak mengandungi vape serta cecair THC berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Jauteh berkata, JSJN Sabah turut menumpaskan satu lagi sindiket pengedaran syabu dan serbuk ekstasi menerusi operasi di Kota Kinabalu, Penampang dan Sipitang bermula 11 Mei lalu.
Katanya, dua lelaki ditahan kira-kira jam 7 malam di kawasan parkir Plaza 88 Kepayan ketika berada di dalam sebuah kenderaan sedan.
“Hasil pemeriksaan menemukan dua bungkusan disyaki syabu seberat dua kilogram.
“Soal siasat lanjut membawa kepada penemuan 50 lagi bungkusan disyaki syabu seberat 50.95 kilogram di sebuah bilik sewa di Plaza Grand Millennium, Penampang,” katanya.
Beliau berkata, serbuan susulan di sebuah bilik sewa di Penampang pula menemukan 10 kilogram syabu serta dua paket serbuk ekstasi.
Katanya, beberapa lagi individu termasuk seorang wanita kemudian ditahan kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan ketua sindiket yang masih diburu polis.
“Polis turut menahan seorang lelaki dipercayai pembantu ketua sindiket ketika cuba melarikan diri ke Lawas, Sarawak melalui Pos CIQ Sindumin.
“Jumlah keseluruhan rampasan bagi kes ini membabitkan 63.18 kilogram dadah termasuk syabu, serbuk ekstasi dan ketamin dengan nilai dianggarkan RM3.16 juta,” katanya.
Jauteh berkata, semua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
Beliau menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah dan akan terus mempergiat usaha membanteras jenayah itu di Sabah.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



