GAJAH PYGMY DITEMUKAN MATI, GADING DIPERCAYAI DIPOTONG

KEJAM: Seekor gajah Pygmy Borneo ditemukan mati dalam keadaan mengerikan di Hutan Simpan Sungai Pinangah, Tongod, dengan gading dipercayai dipotong dipercayai akibat kegiatan pemburu haram.

KOTA KINABALU: Seekor gajah Pygmy Borneo ditemukan mati dalam keadaan mengerikan di kawasan hutan nurseri Hutan Simpan Sungai Pinangah, Tongod, dipercayai menjadi mangsa jenayah hidupan liar.

Lebih menyayat hati, haiwan dilindungi itu ditemui dengan bahagian muka dan mulut dipotong, manakala gadingnya dipercayai sudah diambil pihak tidak bertanggungjawab.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, kejadian itu amat membimbangkan dan pihaknya memandang serius insiden berkenaan.

Katanya, pasukan Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD) menerima laporan berhubung penemuan bangkai gajah terbabit kira-kira jam 8.25 pagi semalam sebelum operasi pemeriksaan dijalankan di lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati sehari sebelum itu, kira-kira jam 5.30 petang, kakitangan ladang di Tongod terdengar bunyi kuat seperti letupan, namun tidak dapat melakukan pemeriksaan segera berikutan hujan lebat sepanjang malam.

“Keesokan paginya, pengurus ladang bersama kakitangan melakukan pemantauan sebelum menemukan bangkai seekor gajah jantan Borneo setinggi kira-kira 2.9 meter,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati bahagian muka dan mulut haiwan itu dipotong berbentuk huruf ‘L’ menggunakan objek tajam, manakala gadingnya dipercayai sudah dipotong dan dibawa lari.

Katanya, setakat ini tiada kesan tembakan ditemukan pada badan haiwan berkenaan, namun siasatan lanjut termasuk bedah siasat masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

“Keadaan hujan lebat ketika kejadian turut menyukarkan usaha pasukan penyiasat mengesan jejak dan bahan bukti di lokasi,” katanya.

Jafry berkata, pihaknya tidak akan berkompromi sekiranya siasatan mengesahkan berlaku aktiviti pemburuan haram atau pemotongan gading secara tidak sah.

“Gajah Borneo adalah spesies ikonik dan dilindungi di Sabah. Sebarang ancaman terhadap spesies ini perlu dipandang serius kerana ia membabitkan khazanah biodiversiti negeri.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu pihak berkuasa bagi memastikan individu bertanggungjawab dapat dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

341 INDIVIDU DITAHAN DALAM OPS PELICAN, SINDIKET PENIPUAN ANTARABANGSA TUMPAS

SIDANG MEDIA: Jauteh menunjukkan alat telekomunikasi dan komputer riba yang dirampas sepanjang operasi JSJK. KOTA KINABALU: Polis Sabah menumpaskan sindiket …

MINDET TERUS SOKONG SYARIKAT SABAH TEMBUSI PASARAN GLOBAL

LAWAT: Ewon melawat pameran BTC, antara syarikat tempatan Sabah yang menyertai expo terbabit. SEOUL: Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan …

POLIS RAMPAS SYABU HAMPIR RM8 JUTA, BURU TIGA LAGI SUSPEK DALAM OP BAYU 9

RAMPAS: Dadah yang dirampas semasa serbuan Op Bayu 9 yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar daerah ini 22 Mei lalu …