Taman Eko Rimba Ulu Bendul, Kuala Pilah di sini ditutup sementara hingga 24 Mei ini bagi semua jenis aktiviti untuk tujuan kawalan keselamatan dan kesihatan awam susulan terdapat kes disyaki leptospirosis atau kencing tikus di kawasan itu.
Menurut Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, Mohd Yussainy Md Yusop, penutupan sementara itu bagi membolehkan pihak pengurusan menjalankan kerja sanitasi, pembersihan rapi dan pemantauan kualiti air demi memastikan keselamatan pengunjung terjamin.
Pihaknya menerima laporan daripada Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Pilah yang memaklumkan terdapat dua kes disyaki kencing tikus berlaku di pusat rekreasi berkenaan.
Sehubungan itu, orang awam dilarang menceroboh masuk ke kawasan itu sepanjang tempoh penutupan dan kegagalan mematuhi arahan itu boleh dikenakan tindakan di bawah peraturan sedia ada. Kawasan rekreasi air yang lain di negeri ini dibuka seperti biasa dan pengunjung diingatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan.
Sementara itu, menurut Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, Dr Suriyati Abd Aziz, siasatan lanjut sedang dijalankan dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kemudian. Terdahulu, tular di media sosial mendakwa beberapa pengunjung mengalami muntah-muntah dan cirit-birit selepas mandi di taman rekreasi tersebut.
Sumber: Sinar Harian



