Hantavirus merupakan sejenis virus zoonotik yang lazimnya disebarkan melalui pendedahan kepada air kencing, najis atau air liur tikus yang dijangkiti, terutamanya melalui partikel tercemar di udara.
Kebanyakan jangkitan berlaku secara sporadik dan berkait dengan persekitaran yang mempunyai infestasi tikus. Penularan daripada manusia kepada manusia adalah amat jarang berlaku dan hanya dikaitkan dengan strain tertentu seperti Andes virus di Amerika Selatan.
KKM ingin menegaskan bahawa sehingga kini, TIADA kes hantavirus dilaporkan di Malaysia. Risiko kepada orang awam di Malaysia pada masa ini adalah rendah.
KKM akan terus memantau perkembangan situasi semasa dan sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Ikuti langkah-langkah pencegahan seperti dikongsikan
Langkah-Langkah Pencegahan Penyakit Berjangkit Tikus
- Menjaga Kebersihan Kediaman
- Kebersihan rumah adalah benteng pertama. Anda perlu menghapuskan kawasan yang berpotensi menjadi sarang tikus, seperti timbunan barang lama atau kawasan semak yang tidak terurus.
- Menghapuskan tempat pembiakan dan perlindungan tikus di dalam dan sekitar kawasan rumah.
- Mengelakkan Sentuhan Langsung
- Jangan menyentuh tikus (hidup atau mati), najis, atau air kencing tikus dengan tangan kosong.
- Mengurangkan risiko jangkitan bakteria atau virus yang dipindahkan melalui cecair badan haiwan perosak tersebut.
- Penggunaan Alat Pelindung Diri (PPE)
- Apabila melakukan aktiviti pembersihan di kawasan yang dicurigai tercemar, wajib memakai sarung tangan dan pelitup muka (mask).
- Melindungi kulit daripada luka yang boleh dimasuki kuman serta mengelakkan daripada menghidu zarah yang tercemar.
- Teknik Pembersihan yang Betul
- Dilarang sama sekali menyapu atau memvakum najis tikus secara terus dalam keadaan kering.
- Perbuatan ini akan menyebabkan partikel kuman terbang ke udara (aerosol) dan boleh masuk ke dalam paru-paru apabila disedut.
- Sebaiknya basahkan dahulu kawasan tersebut dengan bahan pencuci/disinfektan sebelum dibersihkan.
- Tindakan Segera Jika Bergejala
- Jika anda mula mengalami simptom seperti demam, sakit otot, batuk, atau sesak nafas selepas berada di kawasan berisiko, segera ke klinik atau hospital.
- Mendapatkan rawatan awal bagi mengelakkan komplikasi serius yang boleh membawa maut.
Nota Penting: Kebersihan persekitaran bukan sahaja tanggungjawab individu, tetapi komuniti bagi memastikan persekitaran bebas daripada ancaman haiwan perosak.
Sumber Kementerian Kesihatan Malaysia



