TAHAN: Suspek ditahan dikawasan semak di Jalan Kinarut Lama.
PENAMPANG: Tidak sampai lima jam selepas seorang remaja perempuan ditemukan berlumuran darah akibat dikelar di leher di dalam tandas rumah sewa di Kampung Tuntuluk, Nosoob, di sini, suspek lelaki dipercayai terbabit berjaya diberkas polis petang Khamis.
Suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang yang menjalankan operasi mengesan suspek kira-kira jam 5.30 petang hari sama.
Difahamkan, suspek diberkas di kawasan semak di Jalan Kinarut Lama.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek terbabit.
Katanya, maklumat lanjut berhubung penahanan suspek akan dikongsikan kemudian.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa perempuan warga asing berusia 16 tahun ditemukan dalam keadaan berlumuran darah di dalam tandas rumah sewa di Kampung Tuntuluk.
Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian leher sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Pegawai perubatan mengesahkan mangsa berada dalam keadaan stabil namun mengalami beberapa kecederaan serius iaitu luka kelar di bahagian leher dan luka tetakan di bahagian kiri kepala.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



