SEMPORNA PERLU DIPERKASA SEBAGAI DESTINASI PELANCONGAN BERTARAF DUNIA

TINJAU: Hajiji menyempurnakan peletakan batu asas pos keselamatan di perairan Pulau Ligitan, Semporna.

SEMPORNA: Perancangan pembangunan secara menyeluruh termasuk penambahan fasiliti sedia ada perlu dilaksanakan bagi menjadikan Semporna sebagai daerah pelancongan bertaraf dunia dan hab ekonomi biru di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, Semporna mempunyai kelebihan luar biasa menerusi destinasi pelancongan terkenal seperti Pulau Sipadan selain kekayaan sumber marin dan perikanan yang mampu menjana ekonomi negeri.

Katanya, pembangunan bersepadu perlu diberi perhatian termasuk aspek kebersihan, kemudahan pelancongan dan infrastruktur di kawasan pulau.

“Semporna ini bukan sahaja terkenal dengan pelancongan, tetapi sumber perikanan dan marinnya juga sangat hebat.

“Pegawai Daerah dalam taklimatnya turut membentangkan perancangan baik untuk masa depan Semporna termasuk menjaga kebersihan dan meningkatkan fasiliti seperti jeti di pulau-pulau,” katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat pembangunan daerah Semporna di Pulau Mataking, hari ini.

Lawatan itu diadakan sempena Program Lawatan Tinjauan Keselamatan Ketua Menteri ke Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) yang bermula di Sandakan pada Selasa sebelum diteruskan ke Lahad Datu dan Semporna.

Hajiji berkata, semua perancangan pembangunan di Semporna akan dilihat secara menyeluruh bagi memastikan daerah itu mampu muncul sebagai antara destinasi pelancongan terbaik di negara ini.

“Jika dipelihara dengan baik, sektor pelancongan di Semporna mampu menjadi khazanah yang tidak ternilai bukan sahaja kepada Sabah tetapi juga Malaysia.

“Kita perlu melakukan yang terbaik untuk meningkatkan kemudahan dan segala keperluan selaras dengan pembangunan pelancongan di Semporna,” katanya.

Mengulas mengenai potensi ekonomi biru, beliau berkata, sektor itu menjadi antara agenda utama dalam pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi meningkatkan hasil negeri serta taraf ekonomi rakyat.

“Kita akan meneroka sumber ekonomi biru dalam tempoh lima tahun akan datang dan mudah-mudahan ia menjadi aktiviti ekonomi baharu yang mampu meningkatkan hasil negeri serta pendapatan rakyat setempat,” katanya.

Menurutnya, lawatan ke gugusan pulau di sekitar Semporna turut bertujuan meninjau sendiri tahap keselamatan terutama di kawasan pantai timur Sabah selain melihat keadaan pos kawalan keselamatan di pulau terbabit.

Katanya, beliau juga mahu mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai pembangunan daerah menerusi taklimat yang disampaikan sepanjang lawatan berkenaan.

Dalam program sama, Hajiji turut melawat Pulau Sipadan dan mendengar taklimat ringkas daripada Taman-Taman Sabah mengenai perkembangan semasa di pulau berkenaan sebelum menghadiri majlis peletakan batu asas pos keselamatan di Pulau Ligitan.

Artikel/Berita Terkini

PROGRAM JUALAN RAHMAH MADANI

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2026-2030 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi)  Program Jualan …

PROGRAM JUALAN RAHMAH MADANI

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2026-2030 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi)  Program Jualan …

PROGRAM JUALAN RAHMAH MADANI

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2026-2030 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi)  Program Jualan …