Pada 29 April (Sabtu) dalam tahun 1967, Majlis Pembukaan Rasmi Kampung Orang Asli yang diberi nama Kampung Putra disempurnakan oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri di Ayer Baning, Jelebu, Negeri Sembilan. Ketibaan YTM Tunku Abdul Rahman disambut oleh Batin Hassan bin Bate, Ketua Orang Asli Kampung Putra dan YB Haji Abdul Rahman bin Ya’akub, Menteri Tanah dan Galian. Perkampungan yang terletak kira-kira 83.2 kilometer dari Seremban, Negeri Sembilan ini merupakan perkampungan orang asli contoh di Malaysia. Kampung Putra yang menempatkan 33 buah rumah, sebuah sekolah, klinik dan balai raya ini dimodenkan dengan perbelanjaan sebanyak $60,000.00.
Sumber : Arkib Negara Malaysia



