RAMPAS: Pegawai KPDN merampas bekalan diesel tanpa permit menerusi Ops Tiris 4.0.
LABUAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan menumpaskan dua kegiatan penyelewengan diesel tanpa permit menerusi Ops Tiris 4.0 dengan jumlah rampasan keseluruhan dianggarkan RM83,806.
Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain berkata, dalam serbuan pertama berhampiran Saguking Warehouse, Jalan Tuanku Sharif Kedah, seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun ditahan bagi tujuan pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan sebuah kenderaan jenis pikap kabin tunggal menemukan kira-kira 1,000 liter diesel disimpan dalam lima tong bersama hos dan pam elektrik.
“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek gagal mengemukakan permit atau kebenaran bertulis bagi memiliki bahan api berkenaan.
“Nilai keseluruhan rampasan bagi kes pertama dianggarkan RM53,720,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, kes berkenaan membabitkan rampasan diesel, tong simpanan, hos, pam elektrik serta kenderaan yang digunakan suspek.
Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang lelaki berusia 39 tahun turut ditahan di sebuah stesen minyak selepas disyaki mengisi diesel ke dalam gelen 20 liter secara berulang sebelum dikumpulkan di dalam sebuah kenderaan milik syarikat perindustrian.
Katanya, suspek gagal mengemukakan dokumen kebenaran sebelum minyak diesel bersama kenderaan terbabit dirampas dengan nilai keseluruhan RM30,086.
“Kes kedua turut membabitkan rampasan diesel, beberapa gelen simpanan dan kenderaan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan berkenaan,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun.
“KPDN akan terus mempergiat operasi dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam penyelewengan barang kawalan,” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



