KDCA DI SEMENANJUNG PERLU BANTU USAHA PROMOSI PELANCONGAN DOMESTIK SABAH

SAMBUTAN: Joniston (empat kiri) bersama Ahli Jawatankuasa KDCA Pusat beramah mesra dengan sebahagian masyarakat Cina yang hadir pada perasmian sambutan Kaamatan anjuran KDCA Melaka di Melaka.

KOTA KINABALU: Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) di Semenanjung Malaysia digesa untuk membantu usaha agresif Sabah melalui Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dalam mempromosikan pelancongan domestik, khususnya susulan ketidaktentuan global termasuk konflik di Timur Tengah.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri yang juga Pengerusi STB, Datuk Joniston Bangkuai berkata, pendekatan ini penting dengan memanfaatkan keunikan budaya dan tradisi  sebagai tarikan utama negeri Sabah.

“Dalam situasi ini, kita perlu memperkukuh pelancongan domestik dengan mengetengahkan kekuatan Sabah yang berasaskan kepelbagaian budaya, tradisi serta warisan kulinari kita,” katanya ketika merasmikan sambutan Kaamatan anjuran KDCA Melaka di Melaka, pada Sabtu.

Turut hadir Ahli Jawatankuasa Kerja KDCA Pusat, Stanis Buandi; Pengerusi Majlis Wanita KDCA Pusat, Datuk Joanna Kitingan; Pengerusi KDCA Melaka, Scholistica Chin; dan Pengerusi KDCA Johor, Hendrrick Utoi.

Selain masyarakat Sabah di Melaka, sambutan Kaamatan itu yang menampilkan pelbagai acara kebudayaan turut disertai masyarakat tempatan.

Joniston berkata, Sabah mempunyai kelebihan tersendiri yang mampu menarik pelancong dari seluruh negara, termasuk kepelbagaian etnik, keindahan alam semula jadi serta pengalaman budaya yang autentik.

Menurutnya, Presiden KDCA, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan merakamkan klip video khas bagi mempromosikan Pesta Kaamatan ke peringkat antarabangsa, selari dengan usaha memperkenalkan Kaamatan sebagai perayaan budaya yang unik kepada dunia.

Beliau berkata, STB akan terus bekerjasama rapat dengan pelbagai pihak termasuk komuniti budaya bagi memastikan sektor pelancongan Sabah kekal berdaya tahan dan kompetitif.

Sehubungan itu, pihaknya menyeru tujuh cawangan KDCA di Semenanjung iaitu Putrajaya, Lembah Klang, Johor, Perak, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan untuk memainkan peranan sebagai duta kecil dalam memperluaskan promosi Sabah.

“Jaringan komuniti ini boleh membantu memperluaskan capaian promosi dan menarik lebih ramai pelancong domestik ke Sabah,” katanya.

Joniston berkata, tema Kaamatan tahun ini, ‘Kaamatan Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian’, selari dengan usaha merapatkan hubungan antara komuniti pelbagai kaum melalui platform budaya.

Beliau menggalakkan KDCA di Semenanjung agar terus memperluaskan jemputan kepada masyarakat setempat daripada pelbagai latar belakang untuk turut serta dalam sambutan Kaamatan.

“Pendekatan ini bukan sahaja memperkenalkan budaya Sabah dengan lebih meluas, tetapi juga memperkukuhkan semangat perpaduan dan keharmonian, selaras dengan tema yang diangkat,” katanya.

Beliau turut menyeru masyarakat Sabah di perantauan agar terus menyokong dan menghadiri acara kebudayaan anjuran komuniti lain sebagai tanda hormat, keterbukaan dan semangat kebersamaan.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …