ISTIADAT DUN NEGERI SEMBILAN TETAP DITERUSKAN TANPA UNDANG YANG EMPAT, TUNKU BESAR TAMPIN

Majlis Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-15 pada Khamis tetap berlangsung seperti biasa meskipun tanpa kehadiran Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bersama Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aisah Rohani Tengku Besar Mahmud tiba di bangunan DUN Negeri Sembilan sekitar jam 9.36 pagi.

Baginda disambut oleh Yang di-Pertua DUN, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman; Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim.

Baginda kemudian memeriksa kawalan kehormatan utama yang diketuai tiga pegawai serta 103 anggota Batalion Ke-14 Rejimen Askar Melayu Diraja dari Kem Syed Sirajuddin. Seterusnya baginda memasuki Dewan dan menyampaikan titah sekitar jam 10.25 pagi.

Terdahulu baginda yang dilihat keluar dari Istana Hinggap di sini menaiki kenderaan sempat melambai tangan kepada kumpulan Sekretariat Sokongan dan Taat Setia kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Menteri Besar yang berada di tepi jalan. Kumpulan tersebut sebelum itu menyerahkan Memorandum Sokongan dan Taat Setia Anak Waris, Ibu Soko, Buapak, Lembaga ADAT Luak Nan 4 ke atas baginda. Penyerahan memorandum tersebut diserahkan oleh Ketua Sekretariat, Prof Dr Mohd Aluwi Sari kepada Tunku Kecil Muda, Tunku Datuk Mahmood Fawzy Tunku Muhiyiddin.

Lewat tengah malam pada Rabu, Empat Undang Luak bersama Tunku Besar Tampin memaklumkan tidak akan hadir dalam Majlis Istiadat Pembukaan Persidangan DUN.

Perkara itu dimaklumkan dalam kenyataan media bersama dikeluarkan oleh Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak (Sungei Ujong), Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Maarof Mat Rashad (Jelebu), Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Datuk Muhammad Abdullah (Johol), Datuk Sedia Raja Abdul Rahim Yasin (Rembau) dan Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al Qadri (Tunku Besar Tampin).

Mereka turut menasihatkan agar istiadat tersebut ditangguhkan sementara sehingga selesai segala proses adat dan undang-undang berhubung peralihan tampuk pemerintahan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12. Keputusan berkenaan dibuat susulan pengisytiharan pemecatan Tuanku Muhriz oleh mereka pada 19 April lalu serta melihat kepada situasi mutakhir ini.

Sumber: Sinar Harian

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …