Laut bukan sekadar sumber makanan dan ekonomi, tetapi juga ekosistem kompleks yang menyokong kehidupan manusia. Dalam usaha memahami dan melindungi lautan, satu bidang penting yang kini semakin mendapat perhatian global adalah kerjaya sebagai ahli biologi marin. Bidang yang dahulu lebih tertumpu dalam makmal, universiti atau institut penyelidikan. Namun, perubahan besar dunia dalam dua dekad kebelakangan ini mengubah peranan berkenaan secara menyeluruh.
Krisis perubahan iklim, kemerosotan biodiversiti marin, tekanan terhadap sumber perikanan, serta perkembangan konsep ‘ekonomi biru’ menjadikan lautan sebagai pusat perhatian ekonomi global. Lautan bukan lagi sekadar ruang alam semula jadi, tetapi aset ekonomi strategik yang menyumbang kepada makanan, tenaga, pelancongan dan perdagangan antarabangsa.
Dalam kerangka ekonomi biru, pembangunan laut tidak lagi boleh dilakukan secara membuta tuli, sebaliknya mesti berasaskan ilmu sains dan data yang tepat. Ahli biologi marin berfungsi sebagai “mata dan telinga saintifik” yang menilai kesihatan ekosistem, mengkaji perubahan populasi hidupan laut, serta membantu kerajaan dan industri membuat keputusan yang lebih mampan.
Ekonomi biru ialah pembangunan ekonomi yang menggunakan sumber laut secara bijak sambil menjaga alam sekitar. Ia bertujuan mengimbangi pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan manusia dan kelestarian laut. Di peringkat dunia, nilainya sangat besar dan membabitkan sektor seperti perikanan, akuakultur, pelancongan laut, tenaga boleh diperbaharui serta pemuliharaan hutan bakau dan terumbu karang.
Namun, setiap sektor ini saling bergantung kepada satu perkara asas, ‘kesihatan lautan’. Jika stok ikan merosot, industri perikanan akan terjejas. Jika terumbu karang musnah, pelancongan marin akan kehilangan daya tarikan. Jika pencemaran meningkat, akuakultur akan mengalami kerugian besar. Justeru, ahli biologi marin menjadi tulang belakang kepada kelestarian ekonomi biru.
Secara jelas, dalam era Ekonomi Biru, ahli biologi marin bukan lagi sekadar saintis di makmal atau penyelam di lautan. Mereka adalah perancang masa depan, penasihat dasar, dan penjaga keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kelestarian alam.
Sumber:
- https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2026/04/1535746/ahli-biologi-marin-nadi-ekonomi-biru
- Prof Madya Dr Mohd Uzair Rusli (Ketua Pusat Konservasi Marin, Universiti Malaysia Terengganu)



