PERKASA: Pelaksanaan latihan itu merupakan persiapan strategik ke arah Eksesais KERISMAS 29/26.
KOTA KINABALU: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melalui Markas Pemerintahan Armada Timur akan melaksanakan Operational Sea Training Exercise East (OSTEX EAST) 1/26 bermula 7 sehingga 16 April 2026 dalam bentuk Field Training Exercise (FTX).
Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Timur Sabah dalam kenyataan berkata, eksesais itu turut disempurnakan oleh Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Ivan Mario Andrew yang mewakili Panglima Armada Timur.
Pelaksanaan latihan itu merupakan persiapan strategik ke arah Eksesais KERISMAS 29/26 yang dijadualkan berlangsung dari 27 Julai sehingga 14 Ogos 2026.
OSTEX EAST 1/26 telah membuka tirai secara rasmi pada 7 April yang lalu dan tamat pada Khamis.
Eksesais selama 10 hari telah dilaksanakan di beberapa lokasi termasuk
Pangkalan TLDM Kota Kinabalu dan Laut China Selatan.
OSTEX EAST 1/26 melibatkan penyertaan enam buah kapal TLDM (KD Kelantan, KD Badik, KD Rencong, KD Serang, KD Baung dan KD Yu), pesawat AW 139, Unmanned Aerial Surveillance (UAS) Scan Eagle serta dua buah Fast Combat Boat (FCB).
Selain itu, eksesais ini turut mendapat sokongan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melalui penugasan secara in-support yang melibatkan sebuah pesawat CN-235, sebuah helikopter EC725 serta dua buah pesawat pejuang HAWKs.
Eksesais itu dilaksanakan secara menyeluruh dengan pendekatan scenario-driven, yang memberi penekanan kepada situasi operasi sebenar di laut.
Pendekatan ini telah berjaya meningkatkan tahap kesiapsiagaan, keupayaan tempur serta kecekapan operasi armada, di samping menguji keupayaan membuat keputusan secara kritikal dalam persekitaran yang dinamik dan mencabar.
Sepanjang pelaksanaan, eksesais ini telah berlangsung dengan lancar tanpa sebarang insiden atau kemalangan, sekali gus mencerminkan tahap disiplin, profesionalisme serta pematuhan prosedur operasi standard yang tinggi dalam kalangan warga TLDM.
Panglima Wilayah Laut 2 dalam kenyataannya menzahirkan penghargaan kepada semua Pegawai Memerintah, pegawai dan anggota yang telah menunjukkan komitmen serta dedikasi tinggi sepanjang eksesais ini berlangsung.
Beliau turut menegaskan bahawa OSTEX East 1/26 telah berjaya memperkukuh koordinasi antara aset serta meningkatkan keupayaan operasi secara keseluruhan.
Eksesais itu juga memberi penekanan khusus kepada pembangunan pegawai-pegawai muda sebagai pelapis kepimpinan masa hadapan.
Penglibatan mereka dalam latihan berintensiti tinggi ini telah memberi pendedahan signifikan dalam meningkatkan keyakinan, kompetensi profesional serta keupayaan membuat keputusan di bawah tekanan.
Dalam masa yang sama, penghargaan turut diberikan kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) atas kerjasama erat yang telah memperkukuhkan elemen jointness dan inter-agency cooperation.
Sinergi antara agensi ini dilihat sebagai faktor kritikal dalam mendepani cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks.
OSTEX EAST 1/26 mencerminkan komitmen berterusan TLDM dalam memperkukuh keupayaan pertahanan maritim negara serta memastikan kesiapsiagaan armada sentiasa berada pada tahap optimum.
Panglima Wilayah Laut 2 dalam ucapan beliau turut menekankan kepentingan eksesais seumpama ini untuk terus dilaksanakan.
Menurut beliau, momentum kecemerlangan yang ditunjukkan sepanjang eksesais ini akan terus dikekalkan dalam setiap penugasan yang akan datang, selaras dengan aspirasi untuk membina angkatan yang kredibel, berkeupayaan dan berdaya tempur.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



