Kerajaan Negeri Sembilan mengambil langkah proaktif melaksanakan penjimatan perbelanjaan dalam pentadbiran negeri itu bagi menangani krisis tenaga global impak daripada konflik di Asia Barat.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, antara pendekatan yang diambil adalah mengehadkan perjalanan ke luar negara, mengurangkan kos penganjuran program kerajaan selain penggunaan kenderaan rasmi.
Satu perbincangan membabitkan ketua-ketua jabatan diadakan pada Isnin lalu dengan taklimat disampaikan oleh pakar serta Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) mengenai perkembangan semasa di Asia Barat serta kesannya kepada kehidupan rakyat negeri ini.
Melalui perbincangan itu, pihaknya mendapat gambaran bahawa krisis ini bukan sahaja memberi kesan kepada harga minyak dan tenaga, tetapi juga kepada kos sara hidup rakyat. Semua ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri sudah diminta memantau kenaikan harga barang, terutama dalam sektor pembinaan kerana ini akan memberi kesan kepada hasil negeri.
Arahan juga sudah dikeluarkan kepada semua jabatan untuk mengamalkan penjimatan termasuk mengurangkan penggunaan kenderaan, mengelakkan perjalanan yang tidak perlu dan penggunaan tenaga di pejabat dikawal. Selain itu, semua mesyuarat membabitkan jabatan dan agensi kerajaan negeri dihadkan secara fizikal di Seremban sahaja, manakala daerah lain akan diadakan secara dalam talian. Ini untuk kurangkan kos perjalanan.
Program kerajaan negeri yang telah disusun tidak dibatalkan tetapi kos penganjurannya dikurangkan. Perjalanan ke luar negara akan dihadkan kepada yang benar-benar memberi impak kepada negeri kerana usaha menarik pelabur perlu diteruskan. Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim akan memantau pelaksanaan langkah penjimatan ini agar ia dapat memberi impak positif dalam membantu mengurangkan tekanan kehidupan rakyat negeri ini.
Sumber: Berita Harian



