Gadek – Isu membabitkan infrastruktur antara 160 aduan yang diterima menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek Datuk VP Shanmugam yakin semua aduan berkenaan dapat diselesaikan oleh agensi dan jabatan berkaitan mengikut tempoh masa yang sudah ditetapkan kerana cuma melibatkan isu kecil sahaja.
“Kita terima aduan setiap hari, namun hanya melibatkan isu-isu kecil seperti jalan berlubang, lampu jalan dan berkaitan infrastruktur sekitar DUN Gadek.
“Saya yakin 80 peratus daripada keseluruhan aduan diterima dapat diselesaikan menjelang penutup WRUR DUN Gadek nanti,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas merasmikan Program Masyarakat Di Hati Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) di kediaman pesakit kanser hati, Asenah Baba di Kampung Sri Tanjung, di sini, semalam.
Hadir sama, Yang Dipertua MPAG Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim, Setiausaha MPAG Radzyma Mahat serta warga MPAG.
Mengulas lanjut, Shanmugam yang juga Exco Belia, Sukan dan NGO negeri berkata, pihaknya telah mengemukakan semua aduan diterima kepada agensi membabitkan Kerajaan Negeri dan persekutuan bagi tindakan segera.



