SABAH PERKUKUH LIBAT URUS DENGAN PERSEKUTUAN BAGI KEPERLUAN KESIHATAN NEGERI

KENANGAN: Julita bersama tetamu lain merakamkan gambar semasa lawatan terbabit.

KOTA KINABALU: Sabah mempergiat usaha memastikan keperluan kesihatan kritikal di negeri ini dapat disampaikan dengan lebih berkesan serta diberi keutamaan di peringkat Persekutuan.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Julita Majungki berkata, fokus diberikan bagi memastikan isu di peringkat lapangan bukan sahaja direkodkan, malah diambil tindakan melalui libat urus yang lebih jelas dan tegas dengan pihak berkaitan.

“Ini negeri kita. Walaupun sistem kesihatan berada di bawah bidang kuasa Persekutuan, kita tetap mempunyai tanggungjawab untuk memastikan keperluan Sabah dikomunikasikan dengan jelas dan diberi perhatian sewajarnya,” katanya selepas lawatan ke Hospital Queen Elizabeth, hari ini.

Beliau menegaskan banyak cabaran dihadapi hospital utama di Sabah bersifat struktur dan memerlukan perancangan jangka panjang.

“Tiada penyelesaian segera. Tiada siapa boleh menyelesaikan semua ini dalam sekelip mata.

“Apa yang boleh dilakukan ialah memastikan isu kritikal disampaikan dengan lebih berkesan dan diberi keutamaan,” katanya.

Dalam sesi taklimat tertutup, pengurusan hospital memaklumkan peningkatan permintaan pesakit serta tekanan terhadap kapasiti, selari dengan trend dalam sistem kesihatan negeri.

Hospital Queen Elizabeth sebagai antara hospital rujukan utama di Sabah terus beroperasi di bawah tekanan permintaan tinggi dengan beban kerja yang meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Antara perkara dibangkitkan termasuk keperluan memperkukuh kapasiti, menaik taraf fasiliti dan peralatan serta meningkatkan kecekapan operasi bagi menyokong penyampaian perkhidmatan.

Beberapa cadangan dikemukakan termasuk peluasan infrastruktur serta penambahbaikan aliran pesakit dan perkhidmatan sokongan bagi mengurangkan kesesakan dan mengoptimumkan sumber sedia ada.

Julita turut mengiktiraf beban tugas petugas kesihatan dan menyifatkan sumbangan mereka sebagai besar.

“Saya dapat melihat sendiri beban kerja di sini sangat tinggi. Pengorbanan doktor, jururawat dan seluruh petugas tidak ternilai,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri terus bekerjasama rapat dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memastikan keperluan kesihatan Sabah terus diberi perhatian.

“Kita sedar terdapat kekangan termasuk perkara di luar kawalan, namun apa yang berada dalam keupayaan kita akan dilaksanakan, khususnya dalam memperkukuh komunikasi dan memperjuangkan keperluan Sabah,” katanya.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, Pengarah Hospital Queen Elizabeth Datuk Dr Abd Kahar Abd Asis, Pembantu Menteri Datuk Rina Jainal serta Setiausaha Tetap Datuk Maria Chong.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …