RM32.3 JUTA PERUNTUKAN PERKUKUH AGENDA PENDIGITALAN SABAH

MEMORANDUM: Joniston (tiga kanan) yang mewakili Hajiji dan James (tiga kiri) menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman pada Majlis Pelancaran Identiti Baharu Celcom Timur (Sabah) Sdn Bhd, hari ini.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri  terus mempergiat agenda pendigitalan sebagai pemacu utama pertumbuhan negeri, termasuk memperluas capaian di luar bandar, memperkukuh keupayaan digital serta merancakkan pembangunan ekonomi digital yang inklusif.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, bagi tujuan itu sebanyak RM32.31 juta diperuntukkan kepada Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri (JPKN) bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan tahun ini.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, RM9.59 juta disalurkan untuk memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Katanya, ia merangkumi pembekalan komputer serta rangkaian ICT kepada agensi kerajaan negeri, pengurusan pusat data, peningkatan keselamatan siber dan pembangunan sistem aplikasi kerajaan.

“Kerajaan negeri melalui Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), dengan sokongan Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI), terus menjadikan pendigitalan sebagai teras utama pertumbuhan.

“Fokus diberikan kepada peluasan capaian digital di luar bandar, pengukuhan keupayaan digital serta pembangunan ekonomi digital yang inklusif, sejajar komitmen meningkatkan produktiviti dan daya saing negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Identiti Korporat Baharu Celcom Timur (Sabah) Sdn Bhd di sini hari ini. Teks ucapannya dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai.

Hajiji berkata, peranan kesalinghubungan digital kini menjadi tunjang utama dalam menyokong komunikasi, memacu inovasi serta membuka ruang pertumbuhan merentasi pelbagai sektor.

Sehubungan itu, katanya, pengukuhan infrastruktur digital menjadi antara faktor kritikal dalam memastikan kejayaan dan kemajuan Sabah, termasuk dalam menjayakan Hala Tuju SMJ 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030.

“SMJ 2.0 adalah pelan strategik utama yang dirangka untuk melonjakkan daya saing, produktiviti dan nilai ekonomi Sabah secara mampan serta inklusif.

“Ia merupakan kesinambungan kepada SMJ 1.0 yang sebelum ini memberi tumpuan kepada pemulihan dan penstabilan pasca pandemik COVID-19.

“Kini ia diperluas bagi menghadapi cabaran global yang semakin kompleks, termasuk dipacu teknologi kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital dan perdagangan rentas sempadan,” jelasnya.

Dalam konteks itu katanya, kerjasama erat antara kerajaan negeri dan pemain industri seperti Celcom Timur (Sabah) Sdn Bhd amat penting bagi merapatkan jurang digital serta mempercepat pembangunan ekosistem digital negeri.

Menurutnya, pembaharuan identiti korporat syarikat itu mencerminkan kesiapsiagaan untuk melangkah ke hadapan sebagai penyedia infrastruktur dan rakan strategik dalam membentuk masa depan digital Sabah.

Hajiji berkata, sehingga kini Celcom Timur Sabah membangunkan hampir 12,000 kilometer rangkaian gentian optik di seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, sekali gus menjadi tulang belakang kepada hubungan antara daerah serta menyokong keperluan industri, khususnya sektor telekomunikasi.

“Rangkaian ini membolehkan perkhidmatan digital dinikmati secara lebih meluas, termasuk di kawasan yang sebelum ini kurang mendapat liputan.

“Peranan ini menjadikan Celcom Timur Sabah bukan sekadar penyedia infrastruktur, tetapi juga pemudah cara kepada pembangunan digital inklusif serta antara pemacu utama daya saing negeri dalam era digital,” katanya.

Beliau berkata, sumbangan syarikat itu turut terserlah melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif nasional seperti JENDELA, ‘Point of Presence’ (POP2) dan rangkaian 5G, dengan Celcom Timur Sabah bertindak sebagai penyedia utama rangkaian gentian optik di negeri ini.

Turut hadir, Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk James Ratib.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

LANGKAH ATASI KESESAKAN SBCP BANTU SEKTOR PERNIAGAAN SABAH: EWON

SBCP: Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar. (Gambar kecil: Ewon) KOTA KINABALU: Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Datuk Ewon Benedick menyambut baik …

PROGRAM JUALAN RAHMAH MADANI

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2026-2030  Program Jualan RAHMAH MADANI Parlimen Bukit Mertajam,  DUN Machang Bubok telah diadakan di Perkampungan Taman …

PROGRAM JUALAN RAHMAH MADANI

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2026-2030  Program Jualan RAHMAH MADANI Parlimen Bukit Gelugor,  DUN Ayer Itam telah diadakan di Masjid Jamek …