LAPAN TAN BATERI KERETA, E-WASTE TANPA LESEN BERNILAI RM720,998 DISITA

RAMPAS: Rampasan bateri kereta dan e-waste yang disimpan secara haram bernilai RM720,998.

KOTA KINABALU: Kegiatan menyimpan bateri kereta dan sisa elektronik (e-waste) secara haram terbongkar selepas serbuan bersepadu dijalankan menerusi Op Hazard.

Operasi itu melibatkan Pasukan Polis Marin (PPM) bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Serbuan dilaksanakan serentak di seluruh negara dengan dua lokasi di Sabah dikenal pasti di Penampang dan Sandakan.

Kedua-dua premis dipercayai dijadikan pusat penyimpanan barang lusuh serta e-waste tanpa lesen sah.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman, berkata tindakan diambil hasil risikan dan pemantauan pihak berkuasa.

Menurutnya, serbuan di Penampang menemukan kira-kira lapan tan bateri kereta yang disimpan secara tidak sah.

“Di Sandakan pula, pelbagai barangan e-waste turut dirampas termasuk bateri kereta, peralatan komputer, mesin basuh serta barangan elektrik lain.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua premis gagal mengemukakan dokumen sah bagi aktiviti penyimpanan dan perniagaan barang lusuh serta sisa elektronik,” katanya dalam kenyataan di sini.

HARAM: Premis tidak mempunyai dokumen sah bagi aktiviti penyimpanan dan perniagaan barang lusuh serta sisa elektronik.

Menurutnya, semakan oleh LHDN turut mendapati terdapat premis yang tidak dapat mengemukakan dokumen percukaian lengkap.

“Kes diserahkan kepada JAS untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Sisa Terjadual) 2005 serta Seksyen 77A(1) Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM720,998,” katanya.

Ahmad berkata, pihaknya akan terus komited membanteras sebarang aktiviti haram yang boleh mencemarkan alam sekitar serta menyebabkan ketirisan hasil negara.

“Operasi seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan negara terus terpelihara,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …