WRUR ASAHAN: SKSPS LINDUNGI PENOREH GETAH, PEKEBUN KECIL

Asahan – Semua penoreh getah dan pekebun kecil di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan digalakkan mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi memastikan kebajikan mereka lebih terjamin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, usaha itu penting memandangkan ramai dalam kalangan penoreh getah merupakan golongan bekerja sendiri yang terdedah kepada risiko ketika menjalankan pekerjaan harian.

Menurutnya, pendekatan itu turut diperkukuh menerusi kerjasama bersama Lembaga Getah Malaysia (LGM) serta PERKESO dalam memberikan pendedahan dan galakan kepada peserta industri kecil getah.

“Kita buat kolaborasi bersama LGM dan PERKESO kerana penoreh getah ini majoritinya bekerja sendiri. Kita galakkan mereka mencarum di bawah skim SKSPS supaya lebih terjamin,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Program One Stop Centre (OCS) LGM sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Asahan di Balairaya Kampung Abbey, di sini, pada Isnin.

Fairul Nizam yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri memaklumkan, program itu turut memberi manfaat kepada lebih 80 pekebun kecil yang hadir dengan pendedahan berkaitan teknologi penorehan getah baharu serta aspek penjagaan pokok bagi meningkatkan hasil pengeluaran.

“Usaha berterusan akan dilaksanakan dengan penglibatan LGM dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dalam program akan datang bagi memperkukuh lagi sektor pekebun kecil di negeri ini.

“Ramai dalam kalangan mereka pernah mencarum sebelum ini tetapi ada yang tidak menyambung semula. Jadi kita galakkan supaya mereka teruskan caruman demi perlindungan masa depan,” katanya.

  • Melaka Hari Ini (MHI)

Artikel/Berita Terkini

Ramai orang dah lama berhenti kira langkah. Mengapa?

Sebabnya satu. 10,000 langkah sehari terasa macam sasaran untuk atlet, bukan untuk orang yang duduk depan komputer lapan jam, balik …

Sokongan Positif Bantu Anak Lancar Membaca

Kemahiran membaca adalah asas penting dalam perkembangan pendidikan kanak-kanak untuk kelancaran proses pembelajaran. Namun, ibu bapa perlu menyedari bahawa kesukaran …

ECRL Rangsang Kargo SG4

Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berpotensi menjadi pemangkin utama pembangunan perindustrian bagi empat negeri di bawah gagasan SG4, terutamanya melalui …