RAISIN
KOTA KINABALU: Sabah merekodkan pencapaian keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 lebih baik berdasarkan nilai Gred Purata Negeri (GPN) 4.85 mata berbanding dengan 5.00 mata pada SPM 2024.
Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Datuk Raisin Saidin berkata, berdasarkan GPN, jurang pencapaian calon di bandar dan di luar bandar semakin mengecil sebanyak 0.50 mata.
Katanya, GPN calon di bandar ialah 4.53 mata bagi SPM 2025 berbanding dengan 4.65 mata pada SPM 2024.
Selain itu jelasnya, GPN calon di luar bandar pula ialah 5.03 mata bagi SPM 2025 berbanding dengan 5.21 mata pada SPM 2024.
Menurutnya, bilangan calon yang memperoleh keputusan cemerlang iaitu semua gred A+ dalam semua mata pelajaran adalah seramai tiga orang berbanding dengan enam orang pada SPM 2024.
“Bilangan calon yang memperoleh kombinasi gred A+, A dan A- pula seramai 605 orang iaitu 1.63 peratus, berbanding dengan 580 orang (1.64 peratus) pada SPM 2024 iaitu peningkatan seramai 25 orang.
“Calon yang memperoleh sekurang-kurangnya kepujian atau Gred C dalam semua mata pelajaran adalah seramai 6,150 orang (16.61 peratus) berbanding dengan 3,437 orang (9.74 peratus) pada SPM 2024. Angka ini menunjukkan peningkatan seramai 2,713 orang (6.87 peratus),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman keputusan peperiksaan SPM 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Mohamad Ali di Ranau hari ini.
Raisin berkata, calon yang memperoleh sekurang-kurangnya lulus atau gred E dalam semua mata pelajaran adalah seramai 14,533 orang (39.24 peratus) iaitu meningkat 1.60 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Secara keseluruhan, analisis keputusan peperiksaan SPM 2025 menunjukkan pencapaian calon yang memberangsangkan. Pencapaian ini mencerminkan keberkesanan usaha berterusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memastikan sistem pendidikan negara kekal bermutu, inklusif dan memberikan peluang yang adil kepada semua calon di seluruh negara.
“Seiring dengan aspirasi pembangunan negara, KPM akan terus mengukuhkan pelaksanaan pelbagai inisiatif reformasi pendidikan untuk menyokong agenda pembangunan Malaysia MADANI yang progresif dan mapan.
“Usaha ini penting untuk melahirkan generasi yang holistik, berpengetahuan, berdaya saing serta berakhlak mulia,” katanya.
Dalam pada itu katanya, KPM berharap pengumuman keputusan ini bukan sahaja untuk memaklumkan pencapaian peperiksaan, malah turut mencerminkan komitmen berterusan KPM untuk memastikan sistem pentaksiran negara dilaksanakan secara berintegriti, telus dan diyakini selaras dengan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



