13 PELAJAR SABAH TERIMA DANA PENDIDIKAN YAYASAN ANGKASA

CENDERAHATI: Ewon (empat kanan) menerima cenderhati daripada Abdul Fattah.

KOTA KINABALU: Seramai 13 pelajar dari Sabah menerima dana pendidikan daripada Yayasan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) sepanjang tahun lalu.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick, merakamkan penghargaan kepada ANGKASA atas komitmen berterusan menyediakan pembiayaan pendidikan kepada pelajar Sabah.

Beliau berkata, kesemua penerima sedang mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang di beberapa institusi pengajian tinggi, termasuk Universiti Malaysia Sabah (UMS), North Borneo University College, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya, Kota Kinabalu serta Universiti Teknologi MARA (UiTM).

“Kesemua mereka merupakan anak kepada ahli koperasi, dengan jumlah pembiayaan yang diterima antara RM8,400 hingga RM17,500 seorang.

“Yayasan ANGKASA turut menyediakan kemudahan pembiayaan pendidikan tanpa faedah yang boleh diubah kepada biasiswa, melibatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah dalam negara,” katanya selepas menerima kunjungan hormat dan taklimat daripada delegasi ANGKASA dan Yayasan ANGKASA, di pejabatnya, di sini, hari ini.

Kunjungan itu diketuai oleh Pengerusi ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah dan disertai oleh Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri Sabah, Dr Zhamrie Gulamrasul, Pengurus ANGKASA Negeri Sabah Antony Barubui, pegawai-pegawai kanan ANGKASA dan Yayasan ANGKASA.

Dalam pada itu, Ewon menyatakan sokongan terhadap usaha Yayasan ANGKASA untuk memperluaskan pelaksanaan program penjanaan pendidikan bagi memberi manfaat kepada lebih ramai anak ahli koperasi.

Sementara itu, Pengurus Besar Yayasan ANGKASA, Haslinda Ahmad, berkata pihaknya merancang untuk menganjurkan Majlis Makan Malam Gala pada November ini sebagai platform strategik bagi mengumpul dana pendidikan.

Menurutnya, penganjuran majlis di Sabah adalah selaras dengan usaha memperluaskan capaian bantuan kepada pelajar di negeri ini, selain memperkukuh jaringan kerjasama dengan koperasi serta rakan strategik tempatan.

“Inisiatif ini tidak akan menjejaskan peluang pemohon dari Semenanjung Malaysia kerana sumber dana sedia ada seperti peruntukan ANGKASA, KWAPK, sumbangan korporat serta agensi kerajaan terus memberi tumpuan kepada keperluan di Semenanjung.

“Usaha ini merupakan kesinambungan daripada pelancaran tabung pendidikan pada Oktober tahun lalu yang mendapat sambutan menggalakkan daripada koperasi, agensi serta masyarakat setempat,” jelasnya.

Pada Oktober 2025, Ewon yang ketika itu masih menjawat jawatan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia melancarkan Tabung Pendidikan Yayasan ANGKASA bagi pelajar Sabah.

Katanya, berdasarkan momentum positif ini, Yayasan ANGKASA bercadang meneruskan usaha melalui penganjuran majlis makan malam gala dengan konsep jualan meja sebagai medium utama pengumpulan dana.

Beliau berkata, penganjuran ini juga berperanan sebagai inisiatif intervensi untuk merapatkan jurang akses pendidikan serta meningkatkan jumlah dana yang dapat disalurkan kepada pelajar, khususnya dari Sabah.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …