KERJASAMA: Ewon (tengah) dan tetamu jemputan lain menyaksikan Azmir (kiri) dan Shamsul (kanan) saling bertukar dokumen sempena dengan majlis MoU itu.
KOTA KINABALU: Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai oleh Sabah Oil & Gas Development Corporation (SOGDC) dan SEDCO Mining Sdn.Bhd menjadi langkah penting dalam memperkukuhkan pembangunan industri di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Datuk Ewon Benedick berkata, langkah itu turut memberi impak yang baik kepada kawasan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) dan Taman Perindustrian Sawit Kinabalu Sandakan (SKSIP).
Menurutnya, kerjasama strategik antara dua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah kementeriannya itu dijangka dapat menarik lebih banyak pelaburan industri ke kawasan berkenaan.
“Saya mengalu-alukan inisiatif kerjasama strategik seperti ini yang dilaksanakan sesama GLC Sabah yang diletakkan di bawah tanggungjawab kementerian.
“Kerjasama bersepadu seperti ini memudahkan penyelarasan pemantauan terutama berkaitan dengan dasar dan perundangan, seterusnya memacu semangat berpasukan yang lebih kukuh sesuai dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 dan Wawasan Sabah First,” katanya kepada media selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU berkenaan di sini semalam.
Upacara menandatangani MoU itu diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif SOGDC Mohd Azmir Ramli dan Ketua Pegawai Eksekutif SEDCO Mining Shamsul Bahri Johari.
Terdahulu dalam ucapannya, Ewon mahu kerjasama itu menjadi langkah penting dalam memperkukuhkan hubungan strategik antara dua entiti negeri yang memainkan peranan signifikan dalam memacu pembangunan ekonomi Sabah.
Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa berpendirian pembangunan ekonomi Sabah memerlukan pendekatan bersepadu.
Menurutnya, agensi pembangunan negeri perlu bergerak secara bersama bagi mengoptimumkan potensi sumber dan peluang pelaburan.
Katanya, apabila agensi pembangunan berada dalam ekosistem yang sama dan mempunyai matlamat pembangunan yang selari, proses perancangan dan pelaksanaan projek dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, pantas dan efektif.
Menurutnya, kerjasama itu turut membuka ruang kepada pembangunan lebih komprehensif di kawasan SOGIP yang merupakan antara hab industri strategik di Sabah.
“Melalui inisiatif seperti penambakan tanah, keluasan kawasan pembangunan industri di SOGIP berpotensi dipertingkatkan bagi menyokong kemasukan lebih banyak pelaburan industri pada masa hadapan.
“Pada masa sama, potensi untuk mendalamkan laluan masuk perkapalan ke SKSIP dijangka meningkatkan keupayaan pelabuhan menerima kapal bersaiz lebih besar.
“Ia sekali gus memperkukuh rantaian bekalan dan kedudukan Sabah sebagai hab industri serta perdagangan serantau,” jelasnya.
Ewon berkata, peningkatan kapasiti infrastruktur industri, pelabuhan dan logistik dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pelaburan, seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi serta membuka peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat Sabah.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada SEDCO Mining serta semua pihak yang memainkan peranan dalam merealisasikan kerjasama strategik berkenaan.
Menurutnya, matlamat akhir usaha itu adalah untuk memastikan ekonomi Sabah terus berkembang secara progresif, pelaburan meningkat dan rakyat Sabah menikmati manfaat secara langsung melalui peluang pekerjaan, pembangunan industri serta peningkatan kesejahteraan ekonomi.
Turut hadir, Setiausaha Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Datuk Thomas Logijin; Pengerusi SOGDC Datuk Shahelmey Yahya; Pengerusi SEDCO Mining Alan Chua; dan Pengerusi Sawit Kinabalu Hazem Mubarak Musa.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



