LAWATAN: Jamawi (tiga kanan), Zul Hadi (dua kiri) serta tetamu jemputan lain mendengar penjelasan daripada kakitangan Jabatan Pertanian semasa lawatan itu.
KOTA BELUD: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) dengan kerjasama kerajaan Persekutuan akan melaksanakan pendekatan mini estet padi bagi meningkatkan tahap sara diri (SSL) padi di Sabah serta mengusahakan tanah-tanah terbiar di negeri ini.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Jamawi Jaafar berkata, inisiatif itu dibincangkan dalam sesi libat urus bersama pelbagai agensi pertanian di peringkat negeri dan Persekutuan.
Sesi libat urus yang dipengerusikannya itu turut melibatkan Pengarah Bahagian Pertanian, Kementerian Ekonomi, Datuk Zul Hadi Ahmad serta agensi-agensi pertanian yang terlibat.
Menurutnya, perbincangan yang dibuat merangkumi usaha untuk membangunkan lebih kurang 2,000 hektar tanah terbiar melalui pendekatan mini estet.
Katanya, melalui pendekatan mini estet, pembangunan tanah terbiar berkenaan dijangka dibiayai oleh kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Ekonomi.
“Dengan mini estet ini, Insya-Allah ia akan dibiayai oleh kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Ekonomi dan kita akan dapat membangunkan lebih banyak tanah-tanah terbiar.
“Yang penting, petani-petani kita akan mendapat hasil dan juga dapat mengusahakan tanah mereka yang sudah sekian lama terbiar tanpa penanaman dan juga tanpa pendapatan untuk mereka,” katanya kepada media semasa melawat Pusat Pengeluaran Benih Padi Timbang Menggaris di sini semalam.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus memberikan kerjasama dengan kerajaan Persekutuan dalam usaha membangunkan industri padi di Sabah.
Selain itu jelasnya, Sabah juga akan memberikan kerjasama baik dengan kerajaan Persekutuan dalam membangunkan industri padi di negeri ini dan mengusahakan yang terbaik untuk rakyat Sabah.
Hadir sama, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Datuk Fairuz Renddan; Timbalan Pengerusi Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS), Datuk Musbah Jamli; Timbalan Setiausaha Tetap MAFFI, Awang Dzulkernain Awang Hassan; Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Jifrin Mohamad; dan Pengurus Besar LPBS, Datuk Dr. Ramle Kasin.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



