Kuala Terengganu: Ibarat cendawan tumbuh selepas hujan, lambakan ‘port’ moreh di sekitar bandar raya ini mengundang kepada kurangnya sambutan pengunjung.
Tinjauan di beberapa lokasi mendapati peniaga moreh berada selang beberapa kilometer menjadikan sesetengah kawasan mula hambar dengan kehadiran pengunjung.
Peniaga, Aliff Ayumie Kamal Bahrin, 35, berkata, dia akui jualannya tahun ini merosot berbanding tahun sebelumnya sejak dia menyertai perniagaan moreh kira-kira tujuh tahun lalu.
“Pertambahan lokasi moreh antara faktor utama yang menyebabkan pelanggan beralih ke tempat lain dan berpecah menjadi kelompok kecil.
“Sekarang terlalu banyak pilihan, satu dua kilometer ada kedai baharu, justeru pengunjung boleh pergi ke mana-mana sahaja lokasi yang mereka suka,” katanya.
Peniaga Aiskrim, Wan Mohd Azim Mohd Zukifli, 32, berkata, dia tidak menolak lambakan kedai baharu untuk moreh hingga menjejaskan lokasi lama yang sebelum ini menjadi tumpuan pengunjung.
“Kami tidak salahkan sesiapa namun pertambahan lokasi berniaga moreh sedikit menjejaskan pendapatan kami yang sudah lama bertapak kawasan Pantai Batu Buruk ini.
“Kemeriahan kedai moreh ini sudah tidak seperti dulu dan ia seperti suam-suam kuku dengan kehadiran pengunjung,” katanya.
Pengunjung, Nur Shasharina Zulkifli, 30,berkata, lokasi moreh baginya sebagai tempat bertemu rakan-rakan selain bersantai bagi menghilangkan kepenatan.
“Namun, kedai moreh di bandar raya ini dilihat begitu banyak dan mudah untuk diakses hinggakan ada kedai yang lebih ramai peniaga daripada pengunjung.
“Bagi pengunjung pula, apabila banyak pilihan akan memudahkan mereka untuk memilih lokasi mana yang ingin mereka tuju tanpa perlu bersesak-sesak,” katanya.
Menurutnya, dalam soal lambakan ini terletak kepada penganjur kerana mereka yang memilih dan menjayakan satu-satu port moreh di bandar ini.
Katanya, dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu sudah semestinya pengunjung tidak berbelanja dengan sewenangnya dan menghabiskan waktu malam mereka di kedai moreh semata-mata.
Seorang lagi pengunjung, Ahmad Ruslan Zakaria, 45, berkata, harga sebahagian makanan yang dijual masih dianggap tinggi dan membuatkan pembeli lebih berhati-hati dalam berbelanja.
“Kalau nak beli memang kena berfikir panjang, jika saya tidak mahu membazir untuk satu menu sahaja namun harganya terlampau tinggi.
“Kebanyakan menu yang dijual di lokasi moreh boleh didapati pada hari biasa sekali gus tidak menawarkan kelainan kepada pelanggan.
“Menu yang sama boleh jumpa setiap hari. Apa salahnya kalau buat sedikit kelainan sudah pasti lebih menarik hati pelanggan untuk membeli,” katanya.
Melalui tinjauan yang dilakukan mendapati situasi port moreh tumbuh bagai cendawan selepas hujan mencerminkan perubahan trend pengunjung di negeri ini yang bukan sahaja dipengaruhi faktor persaingan lokasi, malah keadaan ekonomi yang turut memberi impak terhadap corak perbelanjaan masyarakat.
Sumber: Harian Metro
12.03.2026



